i-Sinar: Pemuda UMNO terima lebih 400 aduan sehari

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Talian hotline i-Sinar Pemuda UMNO menerima 400 hingga 500 mesej aduan sehari berikutan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai pengeluaran tanpa syarat minggu lepas.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kementerian Kewangan perlu mengambil kira lima isu utama untuk menambah baik proses pengeluaran i-Sinar tanpa syarat setelah aduan tersebut dianalisa.

Beliau mencadangkan KWSP mempercepatkan kemas kini sistem permohonan i-Sinar dengan memansuhkan butiran dokumen sokongan kerana rakyat masih keliru sama ada syarat pengeluaran telah dimansuhkan atau sebaliknya.

“Masih terdapat butiran yang perlu pemohon memuat naik dokumen sokongan, maklumat pengurangan pendapatan, dokumen sokongan untuk pertimbangan bagi meneruskan proses permohonan baharu i-Sinar tanpa syarat ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Menurutnya, kelulusan permohonan perlu dipercepatkan kerana tarikh yang dimaklumkan iaitu pada 8 Mac depan mengecewakan rakyat yang sudah memohon sejak 11 Januari lalu.

Tambah Asyraf, KWSP atau Kementerian Kewangan perlu mengeluarkan kenyataan rasmi segera bagi mengumumkan tarikh penting seperti kelulusan permohonan, tarikh proses rayuan permohonan dan tarikh pembayaran yang akan diterima oleh rakyat.

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan rakyat lebih bersedia dari segi mental dan mengawal aliran tunai kewangan mereka.

“Permudahkan penukaran amaun pengeluaran i-Sinar melalui sistem dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat tidak dapat menukar jumlah pengeluaran pada kadar maksimum secara dalam talian sebaliknya mereka perlu ke kaunter KWSP berdekatan bagi mengisi borang secara manual.

“Ahli KWSP diberi pilihan untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekali gus (one-off) setelah permohonan diluluskan. Ramai yang mengalami tekanan hidup dan terpaksa berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.