Bebaskan Peguam Negara

A
A
A

BARU-BARU ini tular surat pekeliling Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri dalam satu mesyuarat jemaah menteri pada 19 Disember 2018 yang lalu telah memberi peringatan supaya pendakwaan kes-kes rasuah ke atas individu-individu tertentu dijalankan mengikut jadual.

Ramai pihak mendakwa bahawa peringatan sebegitu merupakan satu campur tangan kerajaan terhadap ‘kebebasan’ AGC. Tetapi, persoalan utama yang perlu dirungkaikan adalah, adakah AGC sebuah institusi yang bebas daripada sebarang pengaruh kerajaan termasuk perdana menteri dan Kabinet?

Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Peguam Negara berfungsi sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan jemaah Menteri (Kabinet) mengenai apa-apa perkara berkaitan undang-undang. Dalam erti kata lain, kerajaan adalah ‘anak guam’ kepada Peguam Negara.

Dalam konteks amalan perundangan, peguam biasanya akan menasihati anak guamnya dalam perihal undang-undang, dan dalam mana yang sama akan menerima arahan daripada anak guamnya. Biarpun kadangkala arahan anak guamnya bertentangan dengan nasihat yang diberikan, peguam kadangkala terpaksa mengikut arahan tersebut kerana peguam ‘bekerja’ untuk anak guamnya.

Jadi, adakah fungsi Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan bermaksud Peguam Negara perlu mendengar arahan daripada kerajaan juga?

Pihak AGC telah membuat jawapan balas bahawa AGC adalah sebahagian daripada kerajaan dan tidak salah untuk AGC mendengar dan mendapat arahan daripada kerajaan asalkan arahan tersebut tidak bercanggah dengan undang-undang. Pada dasarnya, AGC bukanlah sebahagian daripada konsep pembahagian kuasa di negara ini, tidak sama seperti Badan Kehakiman yang bebas daripada mana-mana pengaruh kerajaan.

Berdasarkan kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tersebut, adalah kurang tepat jika kita mengatakan bahawa AGC sepatutnya bebas daripada pengaruh kerajaan. Tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang mengatakan AGC adalah sebuah badan bebas, malah AGC sebenarnya bertindak sebagai ‘peguam’ kepada kerajaan.

Pendakwaan kes-kes jenayah akan dilakukan oleh AGC kerana jenayah dianggap sebagai satu kesalahan terhadap kerajaan/negara, walaupun pada realitinya sesetengah jenayah dilakukan terhadap orang awam yang lain.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud kerajaan tidak boleh ‘bertatih’ dalam memastikan AGC (terutamanya cabang pendakwaan) bebas daripada pengaruh kerajaan. Pakatan Harapan sendiri dalam manifesto ‘lapuk’ mereka sudah berjanji untuk memastikan bahawa pendakwa raya bebas daripada pengaruh kerajaan.

Jika kerajaan masih ingat, Janji 15 dalam manifesto mereka menyatakan bahawa mereka mahu memisahkan pejabat pendakwa raya daripada pejabat Peguam Negara. Kononnya, mereka mahu pendakwa raya menjadi sebuah institusi yang bebas daripada sebarang pengaruh kerajaan dan politik, malah mahu ia bebas untuk mendakwa sesiapa tanpa sebarang campur tangan ghaib.

Ini antara perenggan janji atau prinsip yang termaktub dalam manifesto PH, “beliau (pendakwa raya yang dilantik) akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang.” Adakah ini prinsip yang sedang diguna pakai oleh kerajaan hari ini? Sepertinya tidak!

Kita sedar, untuk memisahkan AGC kepada dua iaitu sebagai sebuah badan pendakwaan dan badan yang bertindak sebagai peguam kepada kerajaan/negara memerlukan pindaan kepada Perlembagaan. Ini sudah tentu akan mengambil masa yang lama, walaupun kita masih belum nampak sebarang usaha kerajaan hari ini untuk ke arah itu.

Namun, ini tidak bermaksud kerajaan tidak boleh ‘bertatih’ dalam memastikan AGC bebas daripada pengaruhnya. Kerajaan wajar ‘membebaskan’ AGC dengan tidak mencampuri sebarang urusan AGC. Dalam perihal undang-undang ini, AGC lebih sedia maklum dan bijaksana daripada kerajaan mahupun Perdana Menteri sendiri. Usah dicampuri urusan AGC.

Tidak dinafikan juga bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kepada AGC agar tidak melengah-lengahkan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah adalah satu arahan yang baik dan tidak bertentangan dengan undang-undang. Namun, AGC tahu apa yang mereka sedang lakukan. AGC mempunyai alasan dan strategi yang tersendiri dalam mendakwa kes-kes sebegini. Pendakwaan tidak sepatutnya dilakukan secara tergopoh-gapah kerana akhirnya akan memberi impak negatif kepada proses pendakwaan itu sendiri.

Tindakan kerajaan ‘mengganggu’ urusan AGC mungkin akan dilihat sebagai suatu tindakan yang bermotifkan politik dan dendam. Kerajaan hari ini boleh menafikan sebanyak mana pun bahawa mereka tidak berdendam dengan kerajaan sebelum ini, namun banyak tindak-tanduk mereka menunjukkan sebaliknya.

Adalah dinasihatkan agar kerajaan menelaah semula manifesto mereka. Jika tidak mampu untuk melunaskan semua janji mereka, sekurang-kurangnya biarkan tindak-tanduk itu menunjukkan prinsip dan penghayatan kepada manifesto mereka sendiri.

*Penulis ialah seorang peguam di Kuala Lumpur