Vaksin Covid-19 harus bagi tujuan imunisasi

Abdul Rahman Osman
Abdul Rahman Osman
A
A
A

KUANTAN- Pahang menfatwakan penggunaan vaksin Covid-19 yang wajib diambil oleh semua umat Islam adalah diharuskan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana penggunaan vaksin itu hanya bertujuan sebagai imunisasi badan manusia.

"Jadi di Pahang kita sudah fatwakan penggunaan vaksin Covid-19 selepas semua pihak telah bersetuju dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang (JKPHS) kali ke-5 yang telah bersidang pada 18 Disember lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, pemberian imunisasi vaksin ini secara berperingkat kepada semua golongan juga menepati prinsip maqasid syariah.

Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata, program suntikan vaksin Covid-19 di Pahang di bawah fasa 1 melibatkan seramai lebih 28,000 orang petugas barisan hadapan.

Katanya, suntikan itu akan mula dilaksanakan pada akhir bulan ini.

Menurutnya, mereka yang terlibat ialah dalam kalangan kakitangan serta anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Task Force Covid Negeri.

Bagi fasa 2 pula melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, serta golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, yang mana suntikan vaksin akan bermula April ini.

Artikel Berkaitan:

Di bawah fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini sehingga Februari 2022.