Penjawat awam didakwa terima rasuah RM26,800

Nurul Hazlin ( kanan) di bawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk didakwa atas pertuduhan menerima rasuah.
Nurul Hazlin ( kanan) di bawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk didakwa atas pertuduhan menerima rasuah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Rabu terhadap tiga pertuduhan menerima suapan sebanyak RM26,800 daripada sebuah syarikat pembekalan, dua tahun lalu.

Tertuduh Nurul Hazlin Hashim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Nurul Hazlin didakwa menerima suapan berjumlah RM12,800 di dalam akaun bank miliknya daripada pemilik sebuah syarikat pembekalan sebagai dorongan mencadangkan syarikat berkenaan mendapatkan kerja bagi Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita Negeri Johor 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM14,000 daripada pemilik syarikat pembekalan yang sama sebagai dorongan mencadangkan syarikat berkenaan mendapatkan kerja bagi Program Santuni Orang Asli siri 2 dan siri 3, 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Oktober hingga 4 November 2019 di sebuah bank di Simpang Renggam.

Ketiga-ketiga pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan pada mahkamah selain tertuduh diminta melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan dia mengalami masalah kewangan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.