Penstrukturan semula RAJD untuk lebih efektif

Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi
A
A

TAIPING - Penstrukturan semula Regimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dilaksanakan bagi membolehkan RAJD menjalankan tugas dan peranannya dengan lebih efektif supaya menjadi sebuah pasukan bantuan tempur Tentera Darat (TD) yang boleh dipercayai, bersedia melaksanakan dan membantu pasukan itu.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, penstrukturan semula RAJD ini secara amnya bertujuan memperkasakan pasukan supaya boleh dipercayai serta berupaya melaksanakan tugas efektif sejajar dengan situasi, teknologi dan ancaman semasa.

"Melalui penstrukturan itu, RAJD terus mengorak langkah dengan memperkasakan keupayaan dalam empat bidang utama iaitu, Kejuruteraan Medan, Perkhidmatan Kejuruteraan Profesional, Kejuruteraan Pakar Senggara Perhubungan dan Geospatial Pertahanan.

"Tugas dan fungsi Geospatial Pertahanan diperkasakan selaras dengan pembangunan strategik di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti ‘Network Centrix Operation’ (NCO), perisikan jurutera dan sistem persenjataan moden ATM yang memerlukan data geospatial yang lebih terperinci di samping pengintergrasian data geospatial oleh agensi awam serta swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perbarisan Pengisytiharan Penstrukturan Semula RAJD di padang kawad Kem Sangro di sini, hari ini.

Menurutnya, sejajar dengan rancangan memperkasakan tugas dan fungsi geospatial ini, Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) mencadangkan pewujudan tred kepakaran baharu iaitu Jurugeospatial dan kursus berkaitan bagi menyediakan anggota yang mahir di dalam bidang geospatial ini.

"Perkara ini berada di peringkat akhir kelulusan dan akan diimplimentasikan pada tahun ini," katanya.

Ahmad Hasbullah berkata, BGSP juga akan membangunkan projek perolehan ‘Defence Geospatial Information Management’ (DGIM) yang akan ditempatkan di Pusat Operasi Pertahanan dan MK RAJD Divisyen yang akan meningkatkan keupayaan dan efisiensi TD khasnya dan ATM amnya. - Bernama