Muafakat Nasional tiada masalah, kata pemimpin UMNO

Pendirian UMNO jelas untuk bekerjasama dengan parti Melayu bagi memenangi PRU15 dan bukan sekadar mewujudkan koalisi politik.
Pendirian UMNO jelas untuk bekerjasama dengan parti Melayu bagi memenangi PRU15 dan bukan sekadar mewujudkan koalisi politik.
A
A
A

SHAH ALAM - [LAPORAN KHAS] Hubungan UMNO dan Pas dalam koalisi Muafakat Nasional (MN) tiada masalah dan masih kukuh, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, kepimpinan dua parti dalam MN itu masih mengadakan perbincangan dari masa ke masa dengan UMNO tidak pernah menolak kepentingan koalisi itu bagi menghadapi PRU15.

“Walaupun UMNO tidak begitu bergantung kepada koalisi MN, kita masih tidak menolak kepentingannya.

“Yang penting, UMNO dan Pas, kita tidak bertembung (pada PRU15). Pas sendiri pun banyak kali bercakap untuk perkukuhkan UMNO. Hubungan Pas dan UMNO masih kukuh, tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menegaskan pucuk kepimpinan parti sudah menetapkan pendirian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya kerusi pilihan raya UMNO tidak diganggu.

Menurutnya, pendirian UMNO jelas untuk bekerjasama dengan parti Melayu bagi memenangi PRU15 dan bukan sekadar mewujudkan koalisi politik.

“Ahli-ahli UMNO mendambakan UMNO untuk memenangi PRU15 dan menubuhkan kerajaan untuk membela bangsa.

“Masa MN ditubuhkan, parti dilihat kuat dengan sokongan rakyat kukuh. Namun bila wujudnya PN, terdapat perkara perlu dilihat semula UMNO dan kita bincang elok-elok untuk capai penyelesaian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, sebarang tindakan UMNO memberi kata dua kepada Pas adalah perbuatan kurang cerdik.

Menurutnya, sebagai sebuah parti terlibat dalam kerajaan dan sudah rasmi bersama PN, Pas perlu menunjukkan sokongan kepada PN secara terbuka berbanding kerjasama dengan MN.

“Hakikat sebenar di peringkat akar umbi, Pas dan UMNO sebenarnya lebih selesa bekerjasama kerana kedua-dua parti tahu koalisi terjalin akan memuktamadkan kemenangan PRU15.

“Pas juga menyedari parti itu tidak boleh terlalu bergantung kepada Bersatu. Justeru, kerjasama MN akan terserlah sebaik bermula PRU15 bermula,” katanya.