Persoalan integriti dana parti politik

Gambar kecil: ISMAIL SUALMAN
Gambar kecil: ISMAIL SUALMAN
A
A
A

BERDASARKAN pengalaman setiap kali pilihan raya umum (PRU) semua parti politik yang bertanding menggunakan pelbagai strategi kempen yang melibatkan kos yang amat tinggi.

Kadang-kadang tidak masuk akal, kerana promosi “mewah”, kempen pilihan raya yang memerlukan dana yang banyak, sedangkan sumber kewangan ahli sesebuah parti politik masih boleh dipertikaikan.

Sebenarnya, dari mana parti-parti politik mendapat sumber kewangan untuk membiayai kempen komunikasi semasa pilihan raya? Kalau dikaji dari segi jumlah ahli mana-mana parti politik dengan yuran yang minimum, mana mungkin parti-parti ini mampu menampilkan kempen pilihan raya yang canggih.

Maka timbullah tuduh menuduh mengenai dana politik kedua-dua belah pihak sama ada di pihak pemerintah atau parti pembangkang. Persoalannya kenapa sumber dana politik yang disalurkan kepada parti –parti politik tidak diabsahkan dalam undang-undang.

Sebenarnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menganjurkan agar kerajaan mahu pun semua pihak agar menyokong pindaan perundangan yang dicadangkan pihak Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah berhubung kaedah penyaluran dana politik. Ini kerana salah satu punca rasuah adalah mungkin akibat penyalahgunaan kaedah dan cara dana politik ini disalurkan.

Ini kerana rasuah memberi kesan buruk kepada masyarakat dan perniagaan. Sumber ekonomi tidak diuruskan dengan baik. Dek kerana aktiviti rasuah, orang yang salah dan tidak layak mendapat peluang, pekerjaan atau kuasa.

Rasuah menghalang produktiviti berlaku kerana ia mendorong pembaziran terjadi terutamanya sumber yang berlebihan digunakan. Produktiviti merujuk kepada menggunakan sumber paling sedikit untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Apabila orang yang salah mendapat pekerjaan, kesannya produk akhir atau khidmat yang diberikan bukanlah yang terbaik, malah tidak mencapai kualiti yang diharapkan.

Apabila rasuah dalam politik disogokkan, dan orang yang tidak layak diberikan projek, semua orang rugi, termasuk yang menerima sogokan. Kesannya adalah pengurangan kualiti ke atas projek itu sendiri. Penerima suapan rasuah tidak akan melakukan kerja mengikut piawaian yang sepatutnya, kerana kepentingan mereka bukan lagi kepentingan awam tetapi diri sendiri.

Ketika kejujuran hilang dan rasuah berleluasa di dalam negara ini, setiap warga Malaysia berada dalam kerugian. Kita tidak mahu perkara ini terus berlaku, rasuah dalam apa bentuk sekali pun perlu dibenteras..

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, kerajaan pernah menyuarakan sejak Februari 2009, agar inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana di bawa ke Parlimen.

Namun, setakat ini semua parti politik masih belum memberi persetujuan muktamad. SPRM masih berusaha meminta semua pihak menyokong pindaan itu bagi meningkatkan ketelusan dana politik di negara ini.

Sebelum ini pun, kerajaan pernah mencadangkan untuk mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu untuk mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.

Badan itu sedang memperhalusi setiap keperluan mewujudkan akta baharu itu atau mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam penyeliaan parti-parti politik. Maka, pembiayaan politik di peringkat pusat mahupun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu.

Beberapa akta berpotensi untuk mengatasi mengenai isu dana politik. Antaranya seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Pendaftar Pertubuhan dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram.

Beberapa buah negara mempunyai kaedah pendanaannya tersendiri yang mungkin boleh diambil kira dalam pengubalan dana politik di Malaysia. Misalnya di United Kingdom tidak mempunyai kewangan awam secara besar-besaran kepada semua parti melainkan geran pembangunan dasar dan di Parlimen Scotland.

Manakala parti-parti pembangkang dalam kedua-dua dewan Parlimen Westminster layak mendapat peruntukan khas untuk membantu mereka menampung kos mereka. Namun, pendanaan tidak langsung “dalam bentuk benda”: termasuk penghantaran komunikasi pilihan raya Mel Diraja secara percuma, penggunaan bangunan awam semasa berkempen secara percuma, dan penyiaran.

Di Amerika Syarikat pula, peringkat persekutuan, pendanaan awam terhad terbatas hanya bagi pilihan raya presiden termasuk proses pemilihan calon presiden parti. Sesetengah program kewangan awam juga ada di peringkat negeri dan tempatan. Dana diperoleh daripada “$3 tax check-off”. Melalui proses ini, pembayar cukai individu boleh memberikan keizinan beliau dalam borang taksiran cukainya supaya sebanyak AS$3 daripada cukai yang mereka bayar itu disalurkan kepada dana pemilihan presiden.

Di Australia pula, dana di peringkat Komanwel (Persekutuan) (yang ditadbir Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (AEC), tetapi parti-parti utama masih bergantung kepada sumber swasta/persendirian bagi separuh daripada pendanaan mereka. Pendanaan juga wujud di peringkat negeri/wilayah bagi Queensland, Victoria dan Wilayah Ibu Negara Australia. Melalui dana ini, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada bayaran akan dibiayai dalam masa empat minggu selepas pilihan raya.

Kenapa perlunya Akta Dana Politik

Rasuah politik dan politik wang memberikan kesan yang memudaratkan kepada kedaulatan bangsa dan negara. Politik wang sering diperkatakan menjadi titik permulaan kitaran jahat dan dahsyat rasuah dalam sebuah masyarakat. Kerosakan yang berpunca daripada rasuah politik termasuk:

•Menolak ansur/mengkompromikan kualiti kepimpinan

•Mewujudkan persaingan yang tidak adil di kalangan parti-parti dengan memihak calon-calon yang mempunyai akses kepada sumber-sumber yang lebih banyak. Hak warganegara untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam masyarakat dinafikan.

•Mengancam prinsip kesamarataan dengan membenarkan mereka yang memegang kuasa ekonomi untuk menikmati pengaruh politik yang lebih besar.

•Melencongkan/mengalihkan sumber awam kepada peribadi.

•Menyebabkan ketirisan dalam dana pembangunan persekutuan yang menghalangnya daripada sampai ke peringkat akar umbi. Ini meningkatkan ketidaksamarataan pendapatan.

•Mengurangkan keupayaan pentadbiran negeri.

•Menggugat tonggak pembangunan, hak asasi manusia individu dan rangka undang-undang yang dihasratkan untuk melindungi mereka. Adalah penting untuk kerajaan bertindak cepat bagi menghentikan kerosakan yang boleh berlaku kepada negara disebabkan rasuah politik.

Memang tidak dinafikan sumber kewangan adalah perlu bagi parti-parti politik dan calon-calon berfungsi dengan berkesan dalam sistem demokrasi moden. Namun, wang dalam politik boleh menimbulkan risiko rasuah yang serius terhadap kualiti kerajaan dan demokrasi.

Wang boleh menggendalakan atau mengganggu prinsip demokrasi mengenai persaingan yang adil dan sihat dalam pilihan raya atau mana-mana pemilihan dalam parti-parti politik. Masalah timbul apabila organisasi-organisasi yang mempunyai agenda persendirian menyediakan dana rahsia yang besar kepada parti-parti politik atau calon-calon dan mengharapkan sesuatu sebagai balasan.

Usaha #RasuahBusters perlu disokong dan memerlukan penglibatan masyarakat. #RasuahBusters ialah sebuah kempen untuk membanteras rasuah di Malaysia - rasuah, peras ugut, kronisme, nepotisme, memberi sogokan untuk mendapatkan perlindungan, salahguna kuasa, suapan dan penyelewengan dana. Ini termasuk rasuah besar atau kecil, konvensional atau tidak, secara terbuka mahupun tertutup.

Sudah sampai masanya persoalan dana politik digubal dan dibentuk sebagai akta pendanaan parti politik di Malaysia. Sewajarnya semua parti-parti politik di Malaysia menyokong dan menyetujui usaha SPRM memperjuangkan agar segala sumber kewangan kepada mana-mana parti politik dibuat secara sah dalam undang-undang atau akta agar meningkatkan ketelusan dan intergriti.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA