Apa ada pada kedai runcit?

A
A
A

KEDAI runcit mengikut persepsi generasi pasca merdeka hanyalah kedai yang menjual barang keperluan harian. Kedai-kedai runcit yang mereka lazim kunjungi adalah kedai runcit Cina dan India.

Kedai-kedai ini antaranya menjual beras, gula, tepung, lada, bawang, biskut, peralatan dapur, besen, terompah dan jajan. Kedai-kedai runcitnya pula gelap dan sempit.

Bagaimana dengan kedai runcit Melayu? Kalau ada pun kedai runcit Melayu, pandangan ketika itu ialah, kedai runcit Melayu biasanya akan bankrap kerana ramai pelanggannya tak bayar hutang. Begitulah ceritanya. Kerana itu, bisnes kedai runcit tidak dilihat sebagai sebuah bisnes yang menarik.

Sehingga ke hari ini, tak ramai orang Melayu yang minat mahu buka kedai runcit. Mereka lebih gemar buka kedai dandan rambut, kedai komputer, kedai makan, kedai servis kenderaan dan butik. Ramai tak tahu bahawa bisnes peruncitan menjana pendapatan besar.

Pada tahun 2019, nilai bisnes peruncitan ialah RM112 bilion. Sayangnya, 60 peratus pendapatan bisnes runcit itu dibolot oleh pelabur-pelabur asing. Pasar raya yang besar kecuali Mydin pada hari ini kesemuanya kepunyaan asing.

Pada tahun 80-an, muncul pasar raya yang dikenali hypermarket. Nama seperti Hankyu Jaya, Makro dan Carrefour membuka premis mereka yang besar-besar hingga timbul tanggapan bahawa hypermarket ini akan menelan kedai-kedai runcit. Kemudian timbul pula nama-nama seperti Aeon dan Tesco.

Kedai-kedai runcit tradisional nampaknya kalah dengan kehebatan hypermarket sehinggalah apabila 7-Eleven pertama dibuka di Bukit Bintang pada tahun 1984. Kedai serbaneka 24 jam itu mengubah persepsi kedai runcit. Perlahan-lahan imej kedai runcit persendirian makin malap bila banyak pihak membuka rangkaian kedai runcit yang cantik, bersih dan terang benderang.

Pada hari ini, carian di internet mendapati di Malaysia terdapat 2,413 kedai 7-Eleven, 99 Speedmart (1,880), Family Mart (243), Econsave (95), KK Supermart (63), Lesong Mart (33), Ikhwan Mart 27 dan Elewsmart (21). Itu tidak termasuk ratusan lagi rangkaian kedai Aceh di merata pelosok negara.

Pada musim PKP hari ini, kedai-kedai runcit moden ini menjadi alternatif untuk kita pergi berbelanja. Malah, kedai-kedai runcit tradisional Cina, India, Melayu serta kedai Aceh menjadi tumpuan kembali kerana pembeli tidak suka beratur panjang mematuhi SOP sebelum dapat memasuki pasar raya.

Sejak permulaan PKP pada 2020, kedai runcit dibenarkan terus membuka perniagaan kerana ia menyediakan barangan keperluan. Justeru, kedai-kedai ini terus stabil mendapat pulangan yang menguntungkan. Malah, dalam tempoh PKP ini banyak rangkaian kedai runcit terus berkembang.

Contohnya, rangkaian kedai runcit Elewsmart kepunyaan pendakwah Ebit Lew mula membuka cawangan pada musim PKP pada tahun lalu. Baru setahun jagung, ia sudah mempunyai 21 buah cawangan.

Inilah antara sektor bisnes yang masih rancak, yang boleh menjana ekonomi lokal. Para pengguna yang berada di hujung ekosistem peruncitan memainkan peranan menghidupkannya.

Cuma yang peliknya, mengapa pihak kerajaan masih membenarkan pasar raya syarikat asing menguasai bisnes peruncitan walhal orang Malaysia juga boleh menjual kesemua barangan ini.

Artikel Berkaitan:

Pemilikan lokal dalam sektor ini penting diseimbangkan sama ada dengan mengurangkan kepentingan syarikat asing atau membuka ruang kepada pemain tempatan yang ada membesarkan bisnes untuk setanding dengan pemain luar. Dengan perubahan ini, baharulah pendapatan di sektor peruncitan tidak mengalir keluar.

Lebih-lebih lagi bila dunia belum pasti apakah Covid-19 berjaya diperangi meskipun jutaan tiub vaksin sudah bereda ke merata dunia. Sektor ini pula membabitkan food security yang menjadi kebimbangan banyak negara kerana food security yang lemah boleh mengakibatkan kebuluran. Justeru, semangat ‘kita jaga kita’ dalam soal makan minum, wajar menjadi prioriti negara.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian