Dakwaan langgar SOP, Annuar selesai beri keterangan kepada polis

ANNUAR
ANNUAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memaklumkan sudah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan beliau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa menghadiri satu majlis baru-baru ini.

“Alhamdulillah dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang tadi saya berikan kenyataan dan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyiasat kononnya saya melanggar SOP.

“Baru lega dapat bercerita apa yang berlaku, di mana, situasi apa, di sebalik sekeping foto. Biarlah pihak berwajib jalankan tugas tanpa gangguan,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya hari ini.

Bagaimanapun, Annuar tidak menyatakan di balai polis atau ibu pejabat polis daerah mana beliau memberi keterangan itu.

Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar Annuar bersama beberapa individu duduk di meja sambil menikmati jamuan yang didakwa tanpa penjarakan fizikal di sebuah majlis, Sabtu lalu.

Difahamkan, polis telah memanggil pihak penganjur majlis berkenaan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: