Vaksin Covid-19: PDRM sedia beri bantuan keselamatan

PDRM akan memastikan segala urusan berkaitan keselamatan vaksin akan dipatuhi mengikut SOP yang ditetapkan.
PDRM akan memastikan segala urusan berkaitan keselamatan vaksin akan dipatuhi mengikut SOP yang ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberikan bantuan bagi memastikan keselamatan semasa perjalanan, pengedaran, perpindahan dan penyimpanan, vaksin Covid-19 yang dijangka tiba pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk bersiap-siaga memberikan bantuan jika diminta Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung pengurusan vaksin itu.

Beliau berkata PDRM bekerja 24 jam sehari dan akan memberikan bantuan sebaiknya, bagi memastikan keselamatan vaksin-vaksin itu terpelihara.

“PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan vaksin berkenaan daripada ia tiba (di negara) hinggalah (kepada) urusan untuk diberikan kepada penerimanya,” katanya pada Selasa.

Acryl Sani berkata, segala urusan berkaitan keselamatan vaksin akan dipatuhi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“SOP itu (sama) seperti mana kita membuat SOP ketika pengiringan keselamatan (yang lain misalnya) tugas keselamatan melibatkan duit, OKT (orang kena tuduh) dan seumpamanya. Memang ada SOPnya untuk kawalan keselamatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad ini, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: