X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Saringan Covid-19 masih ikut tanda aras WHO

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada Selasa.
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah saringan Covid-19 di seluruh negara masih berdasarkan tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tanda aras bagi setiap kes positif adalah sekurang-kurangnya 10 hingga 30 kes yang negatif.

"Jadi kalau kita laporkan 2,176 kes positif Covid-19 semalam (Isnin) sepatutnya tanda aras kita 21,760 kes tetapi semalam negara berjaya jalankan 41,895 ujian," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini pada Selasa.

Menurutnya, kekurangan ujian saringan berkemungkinan disebabkan beberapa faktor antaranya cuti perayaan Tahun Baharu Cina selain sumber manusia yang terhad.

"Jumlah individu yang hadir membuat ujian saringan juga adalah menurun tambahan pula mereka juga berkemungkinan hanya melaporkan kes positif namun tidak memasukkan kes negatif ke dalam sistem," kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan seolah-olah jumlah saringan menggunakan RT-PCR berkurangan.

"Kalau kita lihat, ujian menggunakan RTK Antigen masih meningkat iaitu hampir 25,000 kes yang dijalankan.

"Purata ujian RT-PCR dan RTK Antigen adalah hampir mencecah 41,000 pada Isnin," katanya.

Dr Noor Hisham mengulas dakwaan jumlah kes harian Covid-19 yang semakin menurun kerana pengurangan jumlah saringan dilakukan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mendapatkan pandangan dan sumber sahih berkenaan vaksin Covid-19.

"Akhir-akhir ini ramai yang memberikan pandangan mengenai vaksin melalui pelbagai saluran media termasuk media sosial.

"Setiap individu ada pandangan masing-masing tetapi apa yang lebih penting ialah untuk mendapatkan pandangan daripada pakar," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!