X

Kindly register in order to view this article
!

Pengundi 18 tahun: Tidak wajar perlekeh keupayaan generasi muda

Asyraf Wajdi
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menegaskan adalah tidak wajar meremehkan dan memperlekehkan keupayaan pemikiran generasi muda dalam membuat keputusan memilih kepimpinan negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya generasi muda diberikan kepercayaan untuk menentukan masa depan dan hala tuju negara yang akan mereka warisi.

"Usah meremehkan apatah lagi memperlekehkan keupayaan pemikiran anak-anak muda ini! Apa pandangan semua?” soalnya di laman Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilaporkan berkata, rakyat belum bersedia untuk mengundi pada usia 18 tahun.

Pada Selasa, Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun menafikan bahawa beliau menolak pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun seperti dilaporkan media pada Isnin.

Namun beliau menegaskan hak mengundi yang diberikan kepada warganegara berusia 18 tahun itu perlu dipenuhi dengan tanggungjawab moral mereka sebagai rakyat apabila mengundi.

Sehubungan itu, Aysraf berpandang tidak perlu melengahkan lagi pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun yang telah pun diluluskan di Parlimen sebelum ini.

“Undi 18 sudah pun diluluskan sebulat suara di Parlimen, jadi tak perlu berdalih pula untuk melaksanakannya,” katanya.

Untuk rekod, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim baru-baru ini juga mendakwa keputusan menurunkan usia layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada 2019, Parlimen bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Undang-undang tersebut telah diwartakan secara rasmi pada September 2019.

November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!