Empat calon vaksin Covid-19 dalam proses kelulusan NPRA

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti isi kandungan buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas melancarkannya di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti isi kandungan buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas melancarkannya di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat calon vaksin Covid-19 sedang dalam proses untuk kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menurut Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, hanya vaksin Pfizer-BioNTech telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari lalu.

"Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19," menurut buku itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Mengenai aspek keberkesanan atau seberapa baik vaksin berfungsi, ia dilihat melalui keupayaannya untuk melindungi individu daripada simptom penyakit Covid-19 melalui vaksinasi.

Buku panduan itu menyebut peratusan keberkesanan berbeza mengikut cara kajian klinikal dijalankan, jenis vaksin, risiko penyakit pada sukarelawan dan pelbagai faktor lain manakala semua vaksin yang diluluskan oleh NPRA adalah selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai kapasiti serta fasiliti lengkap bagi pembuatan vaksin, dan untuk itu negara perlu mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh negara lain.

Buku tersebut turut menerangkan bahawa dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara.

Memandangkan Malaysia dan dunia berisiko terdedah kepada pandemik lain pada masa hadapan, kerajaan melalui Majlis Sains Negara dalam mesyuarat pada Julai 2020 bersetuju agar Roadmap Pembangunan Vaksin Negara dibentuk sebagai pelan jangka masa panjang untuk negara mengeluarkan vaksin buatan tempatan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, vaksin Covid-19 untuk Malaysia diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal," katanya.

Setiap kelompok vaksin yang akan digunakan di Malaysia dipantau mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selepas vaksin diberikan kepada masyarakat, pemantauan aduan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Vaksinasi Covid-19 adalah secara sukarela dan akan diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia (warganegara dan bukan warganegara) dengan had umur 18 tahun ke atas dan ia akan diteliti dari masa ke masa.

Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus Covid-19. - Bernama