Pasangan Singapura dihukum penjara kerana dera amah

Gambar hiasan
A
A

SINGAPURA - Seorang wanita di Singapura yang mendera pembantu rumahnya warga Myanmar dihukum penjara tiga tahun dan denda S$9,000 (RM27,000) pada Isnin.

Pengurus butik kecantikan, Linda Seah, 39, disabit bersalah bulan lalu kerana melakukan penderaan fizikal terhadap Phyu Phyu Mar pada 2016.

Enam pertuduhan itu termasuk memaksa mangsa menuang air panas pada bahu kirinya hingga meninggalkan kesan melecur.

Seah turut memaksa amah terbabit meminum air dicampurkan dengan pencuci lantai.

Dalam satu kejadian, wanita tersebut bertindak menarik rambut mangsa dan memukul kepalanya beberapa kali dengan telefon bimbit.

Akibat perbuatan itu, Phyu Mar mengalami 'kecederaan psikologi' selain mempunyai parut pada bahunya.

Menurut hakim, amah terbabit juga dilarang makan dan gajinya tidak dibayar.

Sementara itu, suaminya, Lim Toon Leng, 44, dihukum penjara enam minggu atas tuduhan menumbuk dahi mangsa. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia