Penubuhan mahkamah bahagian nafkah, hadanah akan disegerakan

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah bahagian tuntutan Nafkah dan Hadanah di Wilayah Persekutuan yang dicadangkan kerajaan sebelum ini bagi menangani isu tuntutan nafkah, akan disegerakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata kerajaan ketika ini sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan sebelum mengemukakan kepada Kabinet dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Saya akan segerakan tentang apa yang pernah saya sebutkan dahulu, satu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah bahagian nafkah dan hadanah dengan harapan ia boleh dipercepat dan boleh tertumpu kepada tuntutan hadanah dan nafkah.

“Saya sudah tengok kertas kerja dan ia hanya memerlukan kelulusan di peringkat kita (Kabinet) sahaja, tak perlu bawa ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan Bilangan 2/2018 di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Amran Mat Zain dan Datuk Mohd Radzi Abdul Latif serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Noor Hadina Ahmad Zabidi.

Mujahid berkata proses mengumpul maklum balas tersebut dijangka selesai tidak lama lagi dan ianya boleh dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Ditanya sama ada penubuhan mahkamah itu akan diperluas ke negeri-negeri lain, Mujahid berkata ianya bergantung kepada Undang-Undang Tubuh Negeri namun kerajaan akan menunjukkan contoh dan standard agar negeri boleh mengikuti langkah pelaksanaan tersebut.

Mujahid sebelum ini mencadangkan penubuhan kedua-dua mahkamah itu khusus untuk menyelesaikan isu bekas suami ‘liat’ membayar nafkah walaupun sudah mendapat perintah mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai majlis hari ini, Mujahid berkata seramai 53 peguam syarie baharu telah ditauliahkan dengan Sijil Amalan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, bagi melayakkan mereka beramal sebagai peguam syarie yang berkualiti.

Terdahulu dalam ucapannya, Mujahid berpesan kepada penerima sijil pentauliahan itu supaya menjalankan tugas dengan adil dan ihsan bagi membela dan memenuhi hak klien.

Sambil berjenaka Mujahid turut meminta peguam syarie baharu itu untuk mengubah persepi masyarakat yang beranggapan golongan peguam selain ahli politik adalah golongan yang dikatakan paling banyak menipu.

“Paling banyak menipu, mereka kata satu peguam, satu (lagi) ahli politik, gambaran begitu, jangan jadi ahli politik atau peguam kerana mereka paling banyak menipu.

“Saya tidak mahu jadi begitu, anda juga tidak mahu, jadi sama-sama kita bersihkan dengan bersikap ihsan dalam tindak tanduk kita dan menjalankan tugas-tugas,” katanya. - Bernama