X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal singkir Sri Ram, Najib fail rayuan keputusan mahkamah

Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk menyingkirkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes mengubah laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pemberita bahawa notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Permohonan itu telah ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi semalam. Kami berpendapat kami harus mengemukakan rayuan kerana kami mempunyai begitu banyak alasan yang menunjukkan bahawa penyingkiran Sri Ram hampir tidak dapat dielakkan.

“Antaranya pendedahan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam afidavitnya berhubung perbualan beliau dengan Sri Ram yang tidak disangkal malah disahkan oleh Sri Ram.

“Jika itulah yang terjadi, maka terdapat salah laku di pihak pendakwaan,” katanya ketika ditemui selepas perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini.

Afidavit Mohamed Apandi mendakwa terdapat komunikasi antara beliau dengan Sri Ram yang menyaksikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu memintanya menimbang untuk mendakwa Najib di mahkamah.

Muhammad Shafee berkata pembelaan turut mengemukakan rayuan berhubung pembabitan Sri Ram dalam kes berkaitan skandal 1MDB yang bukan hanya sebagai seorang pendakwa malah penyiasat sebagaimana yang didakwa oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’

“Ini tidak dibenarkan. Pendakwaan berkata mereka tidak terlibat dalam siasatan kes itu namun buku Tan Sri Tommy mendakwa beliau secara khusus telah meminta agar Timbalan Pendakwa Raya terlibat dalam siasatan di lokasi kejadian jenayah tersebut.

“Jadi berdasarkan kedua-dua sebab itu, kami berpendapat kami mempunyai alasan yang amat kukuh untuk mengemukakan rayuan,” katanya.

Semalam, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Najib untuk mengecualikan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu berkaitan laporan audit 1MDB.

Mohamed Zaini, dalam penghakiman ringkas, berkata mahkamah mendapati dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya tidak mempunyai merit.

Hakim itu juga berkata Najib telah, antara lain, bergantung kepada fakta bahawa terdapat komunikasi antara Mohamed Apandi Ali dan Sri Ram sebagai bukti berkaitan sikap berat sebelah Sri Ram terhadapnya dan kekhuatiran pemohon berhubung perkara tersebut adalah tidak berasas serta tidak bertempat.

Perbicaraan kes berkaitan laporan audit 1MDB akan bersambung pada 22 Feb depan.

Najib, 67, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, sedang dibicarakan atas pertuduhan mengubah laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan agar pindaan dibuat ke atas laporan akhir 1MDB sebelum ia dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak tindakan diambil terhadap beliau manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib untuk melakukan pindaan tersebut dalam usaha melindungi Najib daripada diambil tindakan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!