Enam lelaki ditahan ceroboh hutan simpan

Salah sebuah kenderaan pacuan empat roda milik suspek disita selepas gagal mengemukakan permit kebenaran memasuki hutan simpan kekal. Foto: ihsan Jabatan Perhutanan Perak.
Salah sebuah kenderaan pacuan empat roda milik suspek disita selepas gagal mengemukakan permit kebenaran memasuki hutan simpan kekal. Foto: ihsan Jabatan Perhutanan Perak.
A
A
A

IPOH - Enam lelaki ditahan selepas disyaki menceroboh sebahagian Kompartmen 53, Hutan Simpan Bubu, Daerah Hutan Kinta/Manjung di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tangkapan dilakukan sebaik menerima maklumat berkaitan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di kawasan tersebut.

"Hasil siasatan mendapati kesemua individu tersebut didapati memasuki hutan simpan kekal tersebut dan bermalam tanpa kebenaran.

"Sejurus mereka keluar dari hutan terbabit, pegawai penguatkuasa telah menahan mereka kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki hutan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, kesemua suspek telah ditahan manakala dua kenderaan yang digunakan mereka turut disita.

"Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lumut dan mereka yang ditahan tersebut telah dilepaskan dengan jaminan polis.

"Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit," katanya.

Mohamed Zin berkata, pihaknya mengingatkan orang awam bahawa semua aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak akan menguat kuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan dalam tempoh PKP ini.