Subsidi upah disalah guna majikan: Perkeso

Perkeso telah menerima 348 aduan berkaitan penyalahgunaan Program Subsidi Upah (PSU) dan penipuan dalam pembayaran bantuan subsidi upah di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Perkeso telah menerima 348 aduan berkaitan penyalahgunaan Program Subsidi Upah (PSU) dan penipuan dalam pembayaran bantuan subsidi upah di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
A
A
A

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima 348 aduan berkaitan penyalahgunaan Program Subsidi Upah (PSU) dan penipuan dalam pembayaran bantuan subsidi upah di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah itu, 269 aduan telah diselesaikan dengan tiga aduan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala 79 kes lagi masih dalam siasatan.

Beliau berkata, penahanan dua pengarah syarikat swasta oleh SPRM pada Isnin lalu adalah hasil kerjasama antara Perkeso dan SPRM Johor ekoran siasatan awal yang dijalankan oleh pertubuhan itu.

“Seorang pengarah syarikat wanita, 39 tahun membuat tuntutan PSU untuk 52 pekerja yang melibatkan bayaran subsidi upah sebanyak RM282,600.

“Sementara seorang lagi, lelaki berusia 64 tahun menuntut bayaran PSU untuk 38 pekerja melibatkan pembayaran sebanyak RM195,600. Bayaran telah dibuat Perkeso bermula bulan Mei sehingga Oktober 2020,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, dua kes berkenaan antara tiga aduan yang dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, PSU merupakan bantuan kewangan kerajaan kepada majikan yang terjejas dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Setakat ini, Perkeso telah membuat pembayaran berjumlah RM13.5 bilion kepada majikan yang layak menerima bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Perkeso komited dalam memastikan agar bantuan kewangan yang diberikan kerajaan disalurkan dengan betul mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, Perkeso juga sentiasa membuat pemantauan terhadap permohonan yang dikemukakan oleh majikan dan tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan atau penyalahgunaan bantuan tersebut.

“Perkeso sekali lagi ingin mengingatkan majikan supaya bersikap jujur dalam mengemukakan permohonan PSU.

“Mana-mana majikan yang telah menyalahgunakan subsidi ini diminta untuk tampil berhubung dengan pihak Perkeso,” katanya.

Beliau berkata, majikan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan diminta untuk memulangkan bayaran PSU yang diterima dengan membuat bayaran balik ke akaun Maybank bernombor 564427515459 (Perkeso SIP-Bayaran) dengan rujukan ‘Bayaran balik PSU’.

Katanya, majikan juga perlu mengisi borang persetujuan bayaran balik bantuan PSU/ERP dan mengemukakannya kepada Perkeso beserta bukti bayaran balik melalui emel sip.payment@perkeso.gov.my.