X

Kindly register in order to view this article
!

'Harap anak dapat ke sekolah sekali seminggu'

Segelintir waris pelajar meminta kerajaan mempertimbangkan agar anak mereka khususnya pra sekolah, Tahun Satu dan Tingkatan Satu dari kawasan berisiko rendah dibenarkan ke sekolah semula sekurangnya seminggu sekali. Gambar hiasan
A
A

ALOR SETAR - Segelintir waris pelajar meminta kerajaan mempertimbangkan agar anak mereka khususnya pra sekolah, Tahun Satu dan Tingkatan Satu dari kawasan berisiko rendah dibenarkan ke sekolah semula sekurangnya seminggu sekali.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar berkata, beliau ada mendengar aduan waris meminta cadangan itu dipertimbangkan.

Menurutnya, waris pelajar memaklumkan anak mereka yang baharu ingin memulakan sesi persekolahan buat pertama kalinya memiliki semangat berkobar-kobar untuk menempuh alam persekolahan.

"Bagaimanapun, mereka mendakwa anak-anak mereka agak keliru apabila perlu belajar mengikut proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan tidak biasa dan masih tidak mengenali guru mereka.

"Disebabkan perlu belajar melalui PdPR maka mereka sebagai pelajar baharu bukan sahaja tidak dapat berjumpa secara langsung dengan rakan-rakan bahkan tidak dapat mengenali guru-guru mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada menerima makluman ataupun aduan daripada waris pelajar dibenarkan pergi ke sekolah sekali seminggu.

Katanya, disebabkan itu, mereka berharap dapat berjumpa seketika untuk mewujudkan satu persekitaran selesa dan biasa.

"Kita PIBG umpama orang tengah menjadi jambatan antara ibu bapa dengan guru, sekali gus diharapkan kerajaan mencari kaedah sesuai memandangkan risiko Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Shaharol Niza mengharapkan cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan dan perlu dikaji agar generasi muda pelajar terbabit tidak hilang semangat dan hilang arah tuju.

Katanya, pihak mengakui cadangan berkenaan memiliki pro dan kontranya, bagaimanapun pihak berkaitan diharap dapat mempertimbangkan perkara terbabit dengan kebenaran untuk ke sekolah di kawasan berisiko rendah dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Jika kawasan merah ataupun berisiko tinggi sememangnya tidak digalakkan,"katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dan kementerian berkaitan diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani kebimbangan yang dihadapi waris pelajar terbabit.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!