Pencuri panjat bumbung selepas dikejar anjing

Lelaki dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Khidmat, Kota Kinabalu, terpaksa memanjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri daripada dikejar dua anjing peliharaan pemilik rumah di kawasan kediaman terbabit.
Lelaki dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Khidmat, Kota Kinabalu, terpaksa memanjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri daripada dikejar dua anjing peliharaan pemilik rumah di kawasan kediaman terbabit.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hasrat seorang lelaki cuba memecah masuk sebuah rumah bukan sahaja gagal malah terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung selepas dikejar dua ekor anjing peliharaan sebelum berjaya ditahan polis di Taman Khidmat pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan selepas pemilik rumah menyedari kehadirannya di kawasan kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba memecah masuk ke rumah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, suspek dikejar oleh dua anjing pemilik rumah sehingga menyebabkan suspek sukar melarikan diri dan terpaksa memanjat bumbung rumah.

"Kehadiran suspek kemudian disedari penghuni rumah berusia 65 tahun sebelum terus bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Susulan itu, Habibi berkata, sepasukan anggotanya segera ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek.

"Ketika ditahan, suspek didapati turut memegang sebatang besi telimbu.

"Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Luyang dan hasil pemeriksaan didapati positif dadah jenis syabu selain turut mempunyai rekod jenayah lampau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Habibi berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.