Polis cekup tokan, rampas dadah RM12,000

Polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM12,000 dengan tertangkapnya seorang lelaki di Klang Utama, Klang pada Isnin. Gambar kecil: NURULHUDA
Polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM12,000 dengan tertangkapnya seorang lelaki di Klang Utama, Klang pada Isnin. Gambar kecil: NURULHUDA
A
A
A

KLANG - Polis memberkas seorang tokan dengan rampasan dadah bernilai RM12,000 di Klang Utama, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kereta jenis Perodua Myvi dinaiki suspek telah menemui 20 peket dadah disyaki syabu bernilai RM12,000.

"Turut dirampas adalah wang tunai RM500 dipercayai hasil jualan dadah.

"Polis percaya dadah itu diedar suspek di sekitar daerah Shah Alam dan Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek yang memiliki tujuh rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah itu juga disahkan positif dadah susulan ujian air kencing.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek telah direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Nurulhuda berkata, sepanjang tempoh bermula 1 Januari sehingga 15 Februari tahun ini, sebanyak 38 kertas siasatan telah dibuka membabitkan 44 individu atas kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh itu, pelbagai jenis dadah telah dirampas iaitu syabu sebanyak 437.36 gram, heroin (22.40 gram), ganja (4.71 gram) dan air ketum (1,500 ml) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM 44,770.50," katanya.

Justeru, pihak polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam membekalkan maklumat dadah dan jenayah di daerah Klang Utara untuk tindakan lanjut.