Cuepacs sokong PdPR 2.0 ditangguh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong penuh kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan permohonan penangguhan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pelbagai masalah dalam PdPR 1.0 perlu diperbaiki secara menyeluruh sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan.

Menurutnya, NUTP telah melakukan kajian dan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0 berdasarkan kepada realiti pembelajaran rakyat Malaysia sepanjang tempoh Covid-19.

“Pelbagai pendapat serta pandangan bagi pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan guru telah diambil kira dalam kajian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mansuh PdPR 2.0, guna kaedah PdPR 1.0

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah tiba masanya ia ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor seperti capaian internet, gajet untuk pembelajaran serta keadaan ruang belajar yang selesa.

“Ini dapat dilihat di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah capaian internet dan guru-guru terpaksa mencari alternatif lain seperti terpaksa meredah sungai atau hutan untuk memberi tugasan kepada murid.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai penjawat awam tidak mampu menyediakan gajet untuk lima anak dan harga gajet sekarang mahal kerana permintaan yang tinggi pada waktu ini.

Artikel Berkaitan:

"Kemudahan jalur lebar dan telefon pintar serta komputer riba sangat penting bagi memastikan proses PdPR berjalan secara lancar sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Selasa, NUTP menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengekalkan cara PdPR 1.0 yang lebih fleksibel berbanding PdPR 2.0 yang diguna pakai hari ini.