Sabah tubuh jawatankuasa khas selaras Projek Persekutuan

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah pada Selasa bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Pewujudan Projek Persekutuan Negeri bagi menyelaras dan mengkoordinasi pelaksanaan projek persekutuan di negeri itu dengan lebih cepat dan teratur.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, jawatankuasa itu penting bagi menangani masalah kelewatan projek disiapkan, projek 'sakit' atau tamat tempoh yang mana projek sedemikian akan merugikan rakyat di kawasan terbabit.

“Saya juga berharap jawatankuasa itu akan dapat mengenal pasti isu dan perkara yang menjadi halangan pada peringkat awal (kelewatan projek) sekali gus dapat menyelesaikan masalah itu,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah secara maya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata jawatankuasa itu akan diperhalusi dan diperinci agar ia benar-benar berkesan serta mencapai objektif penubuhannya.

Beliau turut meminta setiap jabatan dan agensi berkaitan agar mengambil tindakan segera untuk menyelesai serta menyiapkan semua projek yang lewat seperti pembinaan sekolah, hospital dan bekalan elektrik serta air di luar bandar.

"Mana-Mana projek yang lewat disiapkan daripada jadual (asal) perlu dipercepat kerana kelewatan dałam melaksanakan projek yang telah diluluskan hanya akan merugikan rakyat dan kerajaan selain meningkatkan kos," katanya.

Hajiji juga meminta jawatankuasa MTPNg memastikan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dibelanjakan sebaik-baiknya untuk pembangunan di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu peruntukan dapat dibelanjakan sepenuhnya bagi memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh rakyat dan tidak timbul isu peruntukan terpaksa dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan kerana tidak dapat dibelanjakan,” katanya. - Bernama