Nik Nazmi persoal pelantikan Jamil Khir sebagai pengerusi PERHEBAT

Nik Nazmi Nik Ahmad, Jamil Khir
Nik Nazmi Nik Ahmad, Jamil Khir
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) yang baharu.

Beliau mendakwa pelantikan itu bukan sahaja melibatkan orang politik tetapi seorang yang mempunyai sejarah gagal dalam menguruskan dana.

"Sewaktu beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertanggungjawab ke atas Lembaga Tabung Haji, Tabung Haji menghadapi beberapa kesulitan sehingga rizabnya menjadi negatif dan mendapat teguran Bank Negara pada 2015.

"Ini menyebabkan kesukaran Tabung Haji memberikan hibah kepada pencarum sehingga aset-aset Tabung Haji terpaksa distrukturkan semula.

"Kita juga tidak lupa beliau pernah dikaitkan dengan penyalahgunaan wang untuk anak yatim dan miskin di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pada 2015," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Nik Nazmi Nik berkata, PERHEBAT diwujudkan bagi menyediakan kursus kemahiran kepada veteran tentera untuk mereka mendapat pekerjaan selepas perkhidmatan.

"Justeru, fungsi PERHEBAT menjadi lebih penting kini dalam kegawatan ekonomi ekoran wabak Covid-19.

"Adakah usaha menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang rapuh lebih penting dari kebajikan veteran-veteran tentera yang ada?,"soalnya.

Artikel Berkaitan: