Azmin doakan Abdul Hadi sembuh untuk memimpin umat

Kenyataan Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali
Kenyataan Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikurniakan kesembuhan dan diberikan kesihatan untuk terus memimpin umat.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu berkata, beliau secara peribadi mengenali Abdul Hadi sebagai seorang pejuang tabah dan murabbi ummah yang tuntas dalam pembangunan umat demi menyemarakkan syiar Islam.

“Peranan beliau dalam pembentukan PN adalah amat signifikan khususnya untuk menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mendoakan kesihatan Tuan Guru agar kembali pulih untuk meneruskan perjuangan demi kemaslahatan umat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin malam, Abdul Hadi dilaporkan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya akibat sesak nafas.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu posting di Facebook, namun kata Najib, Ahli Parlimen Marang itu kini berada dalam keadaan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi Awang dikejarkan ke hospital

Difahamkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berada di hospital tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, doktor memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi stabil namun jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat.

Katanya, doktor telah memaklumkan bahawa Abdul Hadi akan dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan susulan. Beliau juga akan membuat ujian swab di Institut Jantung Negara.

Difahamkan, beliau dibawa ke institut tersebut pada jam 9.50 malam dengan menggunakan ambulans.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak bersyukur mendapat perkhabaran bahawa Abdul Hadi berada dalam keadaan stabil dan mendapat khidmatan rawatan yang terbaik.