X

Kindly register in order to view this article
!

Bersih 2.0 gesa kerajaan PN segera warta RUU Undi 18

A
A

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengulangi gesaan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 atau RUU Undi 18 bagi membolehkan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun pendaftaran automatik belum dilaksanakan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, ini kerana pindaan perlembagaan berkenaan telah disokong oleh 211 daripada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Melambat-lambatkan proses pewartaan RUU Undi 18 ini bererti menafikan kehendak Dewan Rakyat.

“Kenyataan yang berbolak-balik oleh ahli politik yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Tan Sri Rais Yatim hanya menunjukkan bahawa kerajaan PN tidak mengambil serius keputusan Dewan Rakyat yang mahukan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk menjadi pengundi,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terlalu tergesa-gesa membuat keputusan melayakkan anak muda berusia 18 tahun secara automatik menjadi pengundi.

Selain Rais, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut dilaporkan pada Isnin bahawa rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun belum bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya dan perlu penginstitusian pendidikan politik terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perlu laksana undi 18 tahun PRU15: UMNO

Wan Ahmad Fahysal kemudiannya dalam satu kenyataan pada Selasa menafikan beliau menolak pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun seperti yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, Bersih 2.0 mempersoalkan komitmen kerajaan PN bagi membolehkan anak muda yang berusia 18 tahun ke atas menjadi pemilih bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Bersih 2.0 ingin mengingatkan bahawa kematangan dalam memilih dan kesedaran politik tidak seharusnya dihadkan kepada mereka yang berumur 18 sahaja kerana umur semata tidak menentukan tahap kematangan seseorang.

“Mereka yang lebih berusia serta yang dikatakan ‘lebih makan garam’ juga tidak semestinya memahami sistem politik dan peranan institusi-institusi negara,” katanya.

Katanya, suara generasi muda perlu dihormati dan diambil kira dalam pilihan raya kerana mereka yang akan mewarisi negara ini.

"Suara anak muda terhadap isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh negara yang akan mempengaruhi mereka pada masa depan tidak seharusnya dinafikan lagi,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!