PKP di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dilanjutkan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula Jumaat ini sehingga 4 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, negeri-negeri lain di bawah pelaksanaan PKP sebelum ini ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB), manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri dalam negara yang berstatus PKP Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa tarikh sama.

Beliau berkata, perubahan status kawalan pergerakan itu diputuskan selepas penilaian risiko dibentang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada sidang khas Majlis Keselamatan Negara pada Selasa.

“Secara umum KKM maklumkan kes di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan bermula minggu kelima tahun ini iaitu selepas dua minggu pelaksanaan PKP 2.0.

“KKM juga sahkan trend kes import rentas negeri juga turun mulai 3 Februari lepas. Bagaimanapun, kes masih kekal tinggi di beberapa negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKP di sini pada Selasa.

PKP yang dilaksana di kesemua negeri kecuali Sarawak, sebelum ini dijadual tamat Khamis ini.

Manakala di Sarawak, kerajaan negerinya sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri bermula Isnin.

Mengenai aktiviti dan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPB dan PKPP, Ismai Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia sama seperti pelaksanaan kedua-dua perintah itu sebelum ini dan untuk maklumat lanjut rujukan boleh dibuat di laman sesawang MKN.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kangsar, Perak yang membabitkan Felda Lasah dan Kampung Besi Api, serta di Kuala Berang Terengganu membabitkan Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad, ditamatkan pada 17 Februari (esok) seperti yang dijadualkan.

“KKM telah mengesahkan baki kes positif di kesemua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi, maka kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di ketiga-tiga lokasi ditamatkan pada 17 Februari seperti yang dijadualkan,” katanya.

Jelas beliau, PKPD di Kompleks Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan Bentong di Pahang juga ditamatkan pada 17 Februari, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan tamat pada 22 Februari.

Selain itu, Menteri Kanan itu turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Sungai Maong di daerah Kuching, Sarawak bermula 17 Februari hingga 2 Mac.

Ia berikutan KKM mengesahkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 12 hingga 15 Februari dengan sebanyak 13 kes positif Covid-19 telah direkodkan. - Bernama