X

Kindly register in order to view this article
!

Pengarah syarikat didenda RM30,000 curi kandungan siaran

Lee Lee (kiri) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas enam pertuduhan memiliki kotak media yang mengandungi perisian bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara tidak sah. FOTO: BERNAMA
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat menjual aksesori telefon bimbit didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas enam pertuduhan memiliki kotak media yang mengandungi perisian bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara tidak sah.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjatuhi hukuman itu terhadap Ng Lee Lee, 46, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Muhamad Anas dalam penghakimannya berkata, tindakan tertuduh menjual kotak media berkenaan adalah suatu bentuk cetak rompak kerana mengambil jalan mudah dan keuntungan atas hasil titik peluh orang lain.

“Pengakuan dan kejujuran mengaku bersalah adalah dihargai namun, salah tetap salah kerana ia merupakan kesalahan serius,” katanya.

Lee Lee merupakan individu pertama dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengikut kesemua pertuduhan, Lee Lee didakwa memiliki enam kotak media berjenama iBoite-X mengandungi perisian MyTV.apk untuk memperoleh secara salah, perkhidmatan aplikasi kandungan yang dibekalkan oleh Measat Broadcast Network System Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan tersebut di sebuah premis di Taman Putra Prima, Puchong kira-kira jam 2.30 petang pada 12 Disember 2019 mengikut Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi menawarkan hukuman denda berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan, selepas mengambil kira kepentingan awam, pencipta karya dan kandungan kreatif, kerana perbuatan itu menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan melalui cukai.

Peguam bela tertuduh Low Li Qun, memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum memandangkan perbuatan tersebut adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia perlu menanggung ibu bapa yang sakit serta tiga anaknya.

“Pendapatan melalui perniagaan beliau hanyalah antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Semua digunakan untuk menanggung keluarga,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!