Lima guru gadai nyawa redah arus sungai demi pelajar

Guru sanggup mengadai nyawa seberangi arus sungai untuk menghantar tugasan kepada pelajar ketika pandemik Covid-19. - Foto Kompas
Guru sanggup mengadai nyawa seberangi arus sungai untuk menghantar tugasan kepada pelajar ketika pandemik Covid-19. - Foto Kompas
A
A
A

WAINGAPU - Lima guru sanggup menggadai nyawa mengharungi arus sungai deras untuk membawa tugasan kepada pelajarnya di Kampung Maidang, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.

Aksi itu sempat dirakam oleh salah seorang rakan yang berjaya menyeberangi sungai Maidang, lapor Kompas.

Video durasi tiga minit 30 saat tular di laman sosial memaparkan beberapa guru menyeberangi sungai dibantu oleh penduduk kampung.

Paparan video tersebut menunjukkan beberapa guru menyeberangi sungai seluas 50 meter secara bergilir sebelum tiba di tepi tebing dengan selamat.

Pemangku Pengetua Sekolah Dasar Negeri Lumbung, Fransiskus Xaverius Geroda mengesahkan video itu adalah dirinya dan beberapa guru dari sekolah tersebut.

"Video itu berlaku dua minggu lalu pada 28 Januari. Individu yang mengambil video adalah guru yang berjaya tiba di seberang sungai terlebih dahulu.

"Kami berjaya menyerahkan tugasan kepada pelajar pada jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) dan semuanya selamat," katanya.

Tidak sekadar cabaran menyeberangi sungai, mereka perlu berjalan sejauh empat kilometer untuk tiba di rumah pelajar.

Artikel Berkaitan:

Mereka melakukan demikian setiap minggu untuk memberi tugasan baharu dan mengambil tugasan lama kerana ketika ini proses pembelajaran masih dilaksanakan di rumah akibat pandemik Covid-19.

Tambahan pula, lokasi berkenaan tidak ada kemudahan akses internet termasuk jalan raya atau jambatan yang menghubungkan kampung tersebut.

Walaupun menghadapi banyak kesulitan, Francis bangga dapat berkhidmat dalam bidang pendidikan.