X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

PH sokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) menganggap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai satu usaha melangkaui perbezaan politik dan mahu semua pihak tanpa mengira fahaman politik menjadikan ia sebagai misi nasional terpenting.

Jawatankuasa Imunisasi PH dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kerajaan negeri PH serta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negerinya akan memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan untuk menjayakan program berkenaan.

“Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan telah mengkaji Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah dilancarkan Perdana Menteri dan secara dasarnya mengalu-alukan perancangan kerajaan dalam melaksanakan program imunisasi ini.

“Kejayaan melaksanakan program ini adalah penting untuk memulihkan ekonomi, mengurangkan jangkitan Covid-19 dan memulihkan kehidupan rakyat,” menurut jawatankuasa berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Selasa mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan program itu pula akan mula dilancarkan secara berfasa mulai 26 Februari.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Imunisasi PH turut menyeru supaya wakil ahli Parlimennya dimasukkan dalam jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk menunjukkan bahawa program imunisasi ini adalah sesuatu usaha yang bersifat "bipartisan" dan demi kepentingan negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!