PGA guna dron pantau sempadan Malaysia-Thailand

Hasan Basri (dua dari kiri) menerbangkan dron yang digunakan oleh PGA untuk memantau sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Hasan Basri (dua dari kiri) menerbangkan dron yang digunakan oleh PGA untuk memantau sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) menggunakan dron untuk memantau sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, dron tersebut juga digunakan untuk pemantauan bagi memastikan sempadan negara di bawah tanggungjawab PGA menerusi Op Benteng Covid-19 sentiasa diperketatkan.

"Ini merupakan sebahagian daripada pendekatan yang PGA ambil bagi tahun ini untuk memastikan kawalan sempadan negara sentiasa ketat dan bebas dari sebarang anasir-anasir yang boleh menggugat kestabilan negara," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol pada Selasa.

Beliau hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Antara Pegawai PGA Batilion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof dengan PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsudin.

Menurutnya, dron tersebut mampu terbang setinggi 500 meter dan melakukan pemantauan sejauh 8 kilometer.

Beliau berkata, penggunaan dron itu terbukti berkesan apabila pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup kain batik tiga hari lalu di pangkalan haram Jitong.

Hasan Basri berkata, sejurus mengesan kegiatan itu sepasukan anggota PGA digerakkan untuk melakukan serbuan dan hasilnya berjaya merampas barangan seludup berjumlah RM28,000.

"PGA juga merancang menambah lapan lagi lokasi baharu untuk pemasangan kerawat berduri menerusi inisiatif National Task Force (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan rutin akan terus diperkasakan dari masa ke masa. Bukan itu sahaja kerjasama dengan agensi kawalan sempadan yang lain akan terus dimantapkan dalam membendung aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.