X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19: NGO, ketua masyarakat digerak galak rakyat daftar

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.
- Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat akan digerakkan untuk menggalakkan masyarakat mendaftar diri bagi menerima vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata, turut digerakkan ialah ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk masyarakat orang asli.

"Saya yakin dan percaya dengan adanya segala sokongan maka segala usaha kita untuk memerangi wabak Covid-19 akan berjaya dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini dapat berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku panduan program imunisasi itu, di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Mengenai proses mengambil alih sementara aset, fasiliti dan sumber milik swasta di bawah proklamasi darurat, Muhyiddin berkata, kerjasama yang diberikan pihak swasta adalah amat baik sekali.

"Mereka bersedia memberikan segala bentuk bantuan dan sokongan, sebagai contoh hospital swasta kesemuanya telah bersedia untuk membantu menyediakan segala kemudahan mereka seperti katil, peralatan, doktor, jururawat dan pegawai perubatan lain.

"Oleh sebab itu, walaupun di bawah proklamasi darurat, peruntukan itu telah disediakan tetapi respons yang agak baik itu tidak memerlukan kita menguatkuasakan apa yang ada dalam ordinan (darurat) itu," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, terdapat protokol di pusat vaksinasi bagi memastikan dos vaksin Covid-19 tidak terbuang begitu sahaja kerana ada negara melaporkan pembaziran setelah penerima tidak muncul atau kekurangan peralatan seperti jarum suntikan.

"Dos berlebihan yang belum digunakan kerana penerima tidak muncul akan diberikan kepada anggota keselamatan dan sukarelawan di pusat vaksinasi supaya tidak berlaku pembaziran," katanya.

Mengulas mengenai isu yang sama, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan telah menjalankan latihan penghantaran pada 29 Januari untuk memastikan vaksin dapat dihantar dengan selamat ke pusat vaksinasi terutama di daerah terpencil.

Beliau berkata, 600 tempat vaksinasi itu akan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan seperti bekalan elektrik dan peti sejuk suhu ultra rendah (ULTF).

Difahamkan Kabinet telah bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan akan menyediakan skim kecederaan vaksin khas yang akan diumumkan kelak.

Singapura telah memperkenalkan program bantuan kewangan kecederaan vaksin untuk vaksinasi Covid-19 dengan pembayaran sekali antara S$10,000 (RM30,000) hingga S$225,000 (RM685,000) diberikan kepada individu yang terjejas teruk atau meninggal dunia akibat pengambilan vaksin Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!