Didenda RM3,000 kerana rasuah polis RM240

Tertuduh diiringi SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
Tertuduh diiringi SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara memberi rasuah RM240 kepada anggota polis November tahun lalu, seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, R Kesavan, 28, yang membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan dikenakan jika tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menawarkan dan menyerahkan wang tunai RM240 kepada seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari unit kereta peronda (MPV) yang menjalankan tugasan pematuhan Covid-19 bersama seorang lagi polis berpangkat konstabel di sekitar Gemas, Negeri Sembilan pada jam 11.30 pagi, 3 November 2020.

Wang tunai itu diberi supaya polis tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana memiliki beberapa kotak mercun dan barang letupan terlarang di dalam bonet kereta Proton Persona.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Artikel Berkaitan: