Warga emas rugi RM77,269 diperdaya ejen penapis air

Kam Moi (tengah) bersama Kathleen (kanan) ketika menceritakan kejadian yang dihadapinya apabila kerugian lebih RM77,000 akibat diperdaya ejen penapis air.
Kam Moi (tengah) bersama Kathleen (kanan) ketika menceritakan kejadian yang dihadapinya apabila kerugian lebih RM77,000 akibat diperdaya ejen penapis air.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas kerugian RM77,269 selepas diperdaya ejen penapis air yang datang ke rumahnya di Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan di sini.

Mangsa, Ng Kam Moi, 80, berkata, pada awalnya dia berminat membeli penapis air berharga RM7,000 dijual suspek yang dikenali sebagai Chang Wai pada 3 Februari lalu.

“Sejak itu, suspek yang berusia 30-an itu sering datang ke rumah pada waktu pagi ketika ahli keluarga lain keluar bekerja dengan alasan melakukan penyelenggaraan.

“Pada Selasa minggu lalu, suspek yang datang ke rumah saya ternampak sijil simpanan tetap di dalam bilik dan terus memujuk saya untuk keluar kononnya hendak membeli perabot baharu yang sudah rosak,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat MCA Ipoh Timor di sini pada Selasa.

Hadir sama Naib Pengerusi MCA Ipoh Timor, Kathleen Wong Mei Yin.

Menurutnya, dalam perjalanan suspek mencadangkannya supaya menukar akaun simpanan tetap kepada akaun baharu di bank lain yang menawarkan faedah lebih tinggi.

“Saya dibawa pergi ke bank untuk keluarkan wang berjumlah RM76,414 dan simpanan biasa berjumlah RM855. Saya minta keluarkan dalam bentuk cek tetapi dia tidak setuju kerana dikenakan caj perkhidmatan tinggi.

“Apabila wang diletakkan di atas kaunter, Chang Wai terus memasukkan ke dalam beg sandang dan membawa pergi ke bank di Pekan Lama. Saya tinggal di dalam kereta sementara dia menguruskan pembukaan akaun baharu.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa minit kemudian, Chang Wai bersama seorang lelaki dikatakan pegawai bank membawa dokumen untuk ditandatangan. Disebabkan rabun, saya tidak tahu isi kandungan dokumen itu,” katanya.

Kam Moi berkata, apabila dihantar pulang, suspek ada menyerahkan sampul mendakwa mengandungi sijil simpanan tetap baharu.

“Apabila malam saya menunjukkan kepada anak sijil baharu itu tetapi rupa-rupanya sampul itu kosong.

“Barulah saya sedar yang saya telah ditipu. Wang yang disimpan lebih 10 tahun lesap dilarikan lelaki terbabit,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam.