X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat ternak ikan keli buang sisa dalam sungai dikompaun RM12,000

Norhizam (kanan) menunjukkan salinan keratan Sinar Harian 19 Februari 2020 berhubung pencemaean Sungai di Sungai Baru Masjid Tanah ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di Bachang di sini pada Selasa.
A
A

MELAKA - Sebuah syarikat penternak ikan keli pada Isnin dikenakan kompaun RM12,000 susulan melepaskan sisa darah ayam dan telur busuk ke sungai tahun lalu.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, kompaun tersebut dikeluarkan oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka yang telah melakukan siasatan di lokasi itu susulan menerima aduan berhubung air sungai berbau busuk dan kejadian ikan mati.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan penguatkuasaan BKSA mendapati air kotor dari kolam keli terbabit dilepaskan ke Sungai Baru Masjid Tanah tanpa dirawat terlebih dahulu dan perbuatan itu menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Seksyen 39 (a) Enekmen Sumber Air (Negeri Melaka).

"Pemilik syarikat telah cuai melepaskan sisa darah ayam, telur busuk dan air dari kolam keli ke sungai dan dikenakan kompaun sebanyak RM12,000 bagi kesalahan pertama.

"Sekiranya terdapat kesalahan berulang, jumlah kompaun maksima akan dikenakan iaitu sebanyak RM125,000 atau RM1,000 setiap hari," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di Bachang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri, Faizah Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN: Kolam ternak keli guna darah diarah ditutup sementara: Norhizam

Tahun lalu Sinar Harian melaporkan, tindakan pengusaha ikan keli yang didakwa menggunakan darah dan telur ayam busuk sebagai makanan ikan dalam kolam terbongkar berikutan terdapat pencemaran yang dikesan di Sungai Baru Masjid Tanah.

Kolam ternakan ikan keli tersebut dipercayai memperoleh sisa darah itu dari sebuah kilang penyembelihan ayam.

Mengulas lanjut, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kesalahan seumpama itu terutama melibatkan keselamatan sumber air serta bekalan air untuk rakyat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!