Ijazah untuk arwah ayah: Syafiqa, anak Mr Os

Syafiqa Hayra - Foto Instagram Syafiqa Hayra
Syafiqa Hayra - Foto Instagram Syafiqa Hayra
A
A
A

PENGORBANAN pelakon dan pelawak popular era 80an, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr. Os memberikan pendidikan terbaik buat anak-anaknya, akhirnya berbalas apabila anak perempuannya, Syafiqa Hayra, 26, kini bergelar doktor.

Syafiqa berjaya menamatkan pengajiannya dengan begitu cemerlang dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura, Mesir pada Januari lalu.

No Image Caption

Menurutnya, kejayaan itu didedikasikan khas buat arwah bapanya yang banyak memberikan dorongan dan sokongan untuknya menceburi bidang perubatan.

Biarpun sedih kerana arwah bapanya tidak sempat melihat kejayaan itu, amanat bapanya tetap dipegang untuk terus maju dalam bidang tersebut.

“Ijazah ini hadiah untuk arwah ayah. Alhamdulillah ijazah ini amat besar maknanya kepada saya dan terima kasih kepada arwah ayah serta keluarga yang sering memberi semangat untuk saya meneruskan cita-cita.

No Image Caption

“Arwah selalu berpesan supaya saya menjadi seorang doktor yang akan berbakti kepada masyarakat dan berkhidmat kerana ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“Banyak cabaran dan rintangan yang saya lalui sepanjang belajar di Mesir tetapi orang tua saya tidak pernah berputus asa memberi galakan.

“Saya sudah tetapkan pada diri, setiap pahala yang diperoleh akan disampaikan kepada ibu, Rahayu Muhamed Nadzir dan arwah ayah,” katanya sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar.

Mr. Os meninggal dunia pada 8 April 2016 di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru.