Adam Asmuni, isteri didakwa tanam, edar kanabis

Bangunan Mahkamah Sesyen/Majistret Ampang.
Bangunan Mahkamah Sesyen/Majistret Ampang.
A
A
A

AMPANG - Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Asmuni dan isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok dadah jenis kanabis bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada Adam, 36, dan Lyiana Roslee, 35, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Normaizan Rahim kerana ia berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Adam dan Lyiana didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 1.58 kilogram dan cecair dadah sama berisi padu 7.87 liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Duta Residensi di sini pada jam 7.30 malam, 20 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama, dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, pasangan itu didakwa menanam sembilan pokok disyaki kanabis yang mana ia diperoleh secara langsung atau tidak langsung di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(A)(3) Akta sama, yang dibaca di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suriantiazila Muhamad manakala Lyiana diwakili peguam, Nur Mustanir Md Nor, sementara Adam tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan laporam kimia.

Di mahkamah berasingan, di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Lyiana atas pertuduhan sama yang dihadapinya pada 1 Februari, sebelum mendakwanya semula bersama-sama Adam di hadapan Normaizan.

Pada 22 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ahli politik berusia 36 tahun yang juga bekas calon bagi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ditahan polis kerana dipercayai mengedar dadah di Pudu, Kuala Lumpur.

Selain suspek, isteri dan pembantu rumahnya turut ditahan bagi membantu siasatan.