WHO lulus penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 AstraZeneca

No Image Caption
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin meluluskan dua versi vaksin AstraZeneca/Oxford Covid-19 untuk penggunaan kecemasan yang membolehkan kedua-duanya dilancarkan secara global menerusi COVAX.

Kedua-dua versi itu dihasilkan AstraZeneca-SKBio di Korea Selatan dan Institut Serum India.

WHO dalam siaran akhbar berkata, vaksin itu menunjukkan keberkesanan 63.09 peratus dan "sesuai untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana keperluan penyimpanannya yang mudah", lapor Agensi Berita Xinhua.

Vaksin itu kini boleh digunakan melalui COVAX, inisiatif antarabangsa yang disokong WHO untuk akses yang adil kepada vaksin Covid-19, kata Penolong Ketua Pengarah WHO untuk Akses kepada Ubat dan Produk Kesihatan, Dr Mariangela Simao.

"Negara-negara yang hingga kini tidak mempunyai akses kepada vaksin akhirnya dapat memberikan vaksin kepada pekerja kesihatan dan rakyatnya yang berisiko," kata Simao.

Menurutnya, penekanan dan keutamaan perlu diberi untuk memenuhi keperluan dan akses penduduk dunia dengan cara menyelesaikan dua perkara utama iaitu peningkatan kapasiti pembuatan dan penyerahan awal vaksin oleh syarikat pembuatan untuk kelulusan WHO.

Produk AstraZeneca vaksin Covid-19 kedua diluluskan WHO, selepas kelulusan vaksin Pfizer/BioNTech pada akhir Disember lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: