Kelulusan vaksin Covid-19 ikut syarat ketat, tiada jalan pintas

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Malaysia Ahad. (Gambar kecil: Amrahi Buang)
Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Malaysia Ahad. (Gambar kecil: Amrahi Buang)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelulusan vaksin Covid-19 yang memasuki pasaran di Malaysia tidak mengikut jalan pintas, sebaliknya dikenakan syarat ketat bagi memastikan ia selamat, berkesan dan berkualiti.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, vaksin Covid-19 yang telah didaftarkan di negara lain perlu melalui kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan ia mesti memenuhi syarat sedia ada bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang menggunakan vaksin itu.

Beliau berkata, proses ini dilakukan sepertimana dilaksanakan terhadap vaksin terdahulu yang pernah memasuki pasaran Malaysia.

“Ini bermakna vaksin ini akan melalui fasa praklinikal, fasa I,II,III klinikal dan sekarang apabila ia telah didaftarkan di Malaysia, ia akan memasuki ke fasa yang berikutnya.

“Apabila terdapat vaksin (baharu) yang berada di Malaysia, ia perlu menepati tiga syarat utama iaitu selamat, berkesan dan berkualiti dan ini yang kami ingin beritahu rakyat Malaysia bahawa tidak perlu ada kebimbangan dalam hal ini,” katanya dalam program Koresponden yang disiarkan secara langsung di Bernama TV di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Selasa dan mengumumkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Malaysia Ahad ini dan program imunisasi itu akan dimulakan secara berfasa bermula 26 Februari.

Ditanya tentang keraguan segelintir rakyat Malaysia terhadap kandungan vaksin Covid-19, Amrahi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menjelaskan fatwa berkaitan vaksin Covid-19 dan hukum ambilannya adalah harus.

Beliau berkata, melalui pantauannya juga, isi kandungan vaksin Pfizer-BioNTech tidak mempunyai bahan daripada sumber haiwan.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kita boleh buat andaian bahawa vaksin ini produk halal.

“Begitu juga vaksin Sinovac yang dibangunkan syarikat farmaseutikal China... vaksin itu telah digunakan di Indonesia dan difatwa halal Majelis Ulama Indonesia (MUI) setelah membuat kajian bagi memastikan vaksin itu tidak mengandungi bahan terlarang,” katanya. - Bernama