Cubaan seludup cecair vape ke negara jiran gagal

Anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas cecair vape pelbagai perisa bernilai RM770,000 yang cuba diseludup ke negara jiran pada Isnin.
Anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas cecair vape pelbagai perisa bernilai RM770,000 yang cuba diseludup ke negara jiran pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan sekumpulan lelaki untuk menyeludup cecair vape pelbagai perisa bernilai RM770,000 ke negara jiran gagal apabila dihidu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pada Isnin.

Dalam serbuan jam 3 pagi di Kampung Kubang Rambutan di sini, sekumpulan lelaki yang berada di lokasi terus lari lintang pukang sejurus menyedari kehadiran anggota PGA.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan membawa kepada penemuan 42 kotak yang mengandungi cecair vape.

"Pemeriksaan lanjut ke atas semua kotak-kotak itu, kita dapati terdapat sebanyak 7,470 botol cecair vape pelbagai perisa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

Nor Azizan berkata, rampasan itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh pihaknya di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua cecair itu untuk diseludup ke negara jiran menggunakan laluan-laluan tikus yang terdapat di sekitar Rantau Panjang.

Artikel Berkaitan:

"PGA akan terus memperketatkan kawalan dan rondaan lebih kerap dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.