AFC buat keputusan akhir Khamis

Windsor Paul
Windsor Paul
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) dijangka membuat keputusan akhir berhubung aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Khamis ini, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, keputusan yang bakal diputuskan nanti adalah muktamad dan ia perlu dipatuhi oleh kesemua pasukan terlibat.

“Apa yang boleh saya beritahu, sehingga hari ini (semalam) kami terima beberapa surat daripada negara-negara terlibat, tetapi ia masih kurang jelas.

“Sebagai contoh, ada negara yang kata nak bermain satu perlawanan, kemudian tidak mahu bermain satu lagi perlawanan. Ini tidak boleh berlaku.

“Jadi esok (Selasa) atau Rabu, kami akan adakan mesyuarat untuk mencari kata putus, mungkin keputusan boleh dicapai pada Khamis,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, AFC memberikan tempoh sehingga 15 Februari kepada kesemua pasukan untuk mencari kata sepakat sama ada mahu meneruskan saingan kelayakan itu bulan depan atau menunda pada Jun depan.

Mengulas saingan Kumpulan G yang membabitkan Malaysia, Windsor berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Vietnam berhubung pendirian mereka.

“Setakat ini Vietnam belum ada status sama ada mereka bersetuju ditunda atau mahu aksi kelayakan ini disambung semula bilan depan. Jadi kami akan buat keputusan mengenainya pada mesyuarat nanti,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain Malaysia, Thailand dan Indonesia menyatakan persetujuan agar aksi kelayakan berkenaan yang dijadualkan berlangsung Mac depan ditangguh dan dijalankan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.