Palestin dakwa Israel halang penghantaran vaksin Covid-19 ke Gaza

Palestin dakwa Israel halang penghantaran vaksin Covid-19 ke Gaza. - Foto Reuters
Palestin dakwa Israel halang penghantaran vaksin Covid-19 ke Gaza. - Foto Reuters
A
A
A

TEL AVIV - Pihak Berkuasa Palestin (PA) mendakwa Israel menghalang penghantaran vaksin Covid-19 ke Gaza berikutan rakyat Palestin belum menerima sebarang dos.

Menerusi laporan Reuters, seorang pegawai Palestin memberitahu PA cuba menghantar 2,000 dos vaksin Sputnik V Rusia dari Tebing Barat ke Gaza pada Isnin, tetapi Israel menahan pasukan itu di sebuah pusat pemeriksaan Tebing Barat dengan memberitahu tiada kelulusan diberikan untuk meneruskan perjalanan ke Gaza.

Seorang pegawai keselamatan Israel berkata, permintaan PA untuk menghantar 2,000 dos vaksin dilihat masih diteliti dan belum ada kelulusan lagi.

Menurut pegawai keselamatan Israel, badan yang bertanggungjawab memberi meluluskan penghantaran itu adalah majlis keselamatan kebangsaan Israel, sebahagian daripada kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Mengenai isu itu, pejabat Netanyahu tidak memberi sebarang komen.

Para pegawai PA menyatakan mereka sudah menghantar permohonan penghantaran kepada pihak berkuasa pertahanan Israel sebaik sahaja menerima sebanyak 10,000 dos vaksin dari Rusia di Tebing Barat pada 4 Februari lalu.

Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Mai Al-kaila, "Hari ini, 2,000 dos vaksin Sputnik V Rusia akan dihantar ke Gaza, tetapi pihak berkuasa Israel menghalangnya".

"Dos-dos itu akan diberikan kepada kakitangan perubatan yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) khusus bagi mereka yang menjaga pesakit Covid-19. Termasuk juga kakitangan yang bertugas di wad kecemasan," menurut kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan: