X

Kindly register in order to view this article
!

Perak benarkan jemaah ikut kapasiti masjid, surau

Kenyataan MAIPk pada Selasa.
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada semua masjid dan surau di Perak menerima bilangan jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mengikut keluasan dewan solat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada 18 Februari 2021 sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah baginda berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah ALLAH dan beribadah secara berjemaah. Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

"Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas KKM menangani wabak Covid-19 ketika ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mohd Annuar berkata, baginda turut membenarkan semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

Kuliah ilmu turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara solat Maghrib dan solat Isyak, selepas solat Subuh dan sementara menanti azan solat Jumaat.

Sementara itu, Mohd Annuar berkata, baginda turut membenarkan jemaah wanita untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau.

Menurutnya, semua jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mestilah terdiri daripada warganegara, penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas.

"Kumpulan berisiko tinggi dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sebagai langkah penghindaran demi mengelakkan berlakunya komplikasi kesihatan.

"Tidak dibenarkan diadakan jamuan di dalam masjid dan surau, merangkumi pekarangan masjid dan surau," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang aktiviti, termasuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid mahupun surau yang terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau.

Katanya, selain itu, JAIPk turut bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan, memastikan jarak fizikal antara jemaah sentiasa dipatuhi terutama aliran jemaah masuk dan keluar.

Beliau turut menasihati jemaah supaya membawa beg untuk menyimpan kasut bagi memboleh jemaah membawa kasut di dalam masjid dan surau bagi mengelak kesesakan yang sering berlaku ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!