X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat warga emas ditemukan terapung bawah jeti

Anggota bomba menemukan mayat seorang warga emas terapung-apung di bawah jeti di Emerald Bay, Puteri Harbour, Iskandar Puteri pada tengah malam Isnin.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang warga emas yang keluar bersiar-siar di kawasan jeti di Emerald Bay, Puteri Harbour, di sini ditemukan lemas pada tengah malam Isnin.

Mayat Abdul Rahim Abd Majid, 79, ditemukan terapung-apung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) BBP Tebrau di bawah jeti long side boat pada jam 12 tengah malam.

Ketua BBP Iskandar Puteri, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, mayat warga emas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dengan menggunakan kenderaan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian antara jam 8 hingga 11 pagi Isnin, mangsa hilang semasa melakukan rutin harian berjalan-jalan di sekitar jeti di kawasan tersebut.

Kehilangan warga emas itu disedari apabila tidak pulang pada jam 11 pagi untuk makan tengah hari sebelum anak perempuannya keluar mencari bapanya di kawasan jeti tetapi gagal menemukannya.

Anak perempuannya itu hanya menemukan satu topi dan sepasang selipar yang berada di jeti berkenaan sebelum pihak bomba memulakan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut.

Shamsul Khomari berkata, pihaknya melakukan SAR tanpa henti sejak pagi Isnin dan menggunakan teknik selaman wind shield wiper search dengan pencarian dalam radius 100 meter dari lokasi mangsa jatuh pada kedalaman 3 meter.

Katanya, seramai 22 anggota BBP Iskandar Puteri dan PPDA dari BBP Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu utiliti Toyota Hilux terlibat dalam operasi tersebut.

Menurutnya, warga emas tersebut kematian isterinya bulan lalu dan ketika ini tinggal bersama-sama anak perempuannya itu di kawasan berhampiran.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!