X

Kindly register in order to view this article
!

DLMI optimis prospek niaga 2021

Bersempena dengan Tahun Lembu pada Tahun Baharu Cina 2021, DLMI menghiasi mercu tanda ikonik syarikat dengan patung-patung lembu tenusu yang memberi manfaat melalui kebaikan khasiat susu.
A
A

SHAH ALAM - Syarikat tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) kekal optimis mengenai prospek perniagaannya pada tahun 2021.

Pengarah Urusannya, Tarang Gupta berkata, DLMI melaksanakan beberapa strategi dalam menangani kesan ke atas pendapatan syarikat akibat Covid-19, dipacu oleh asas-asas dalaman syarikat yang kuat serta pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi yang diterajui oleh kerajaan.

“Komitmen jangka masa panjang DLMI di Malaysia merupakan cerminan ke atas kejayaan ekonomi negara yang berterusan, hasil daripada dasar-dasar ekonomi konsisten dan berkesan oleh kerajaan,” katanya selepas merasmikan hiasan perayaan Tahun Baharu Cina melibatkan 58 tanglung yang dipasang bersama patung-patung lembu ikonik DLMI di Petaling Jaya pada Khamis.

Tarang berkata, DLMI turut komited membuat pelaburan semula ke dalam pasaran ekonomi domestik negara.

“Dengan pelbagai inisiatif pelaburan syarikat pada tahun lepas, kami akan terus memainkan peranan selaku rakan industri kepada kerajaan bagi memajukan dua agenda nasional iaitu dalam soal keselamatan bekalan makanan negara melalui Program ‘Farmer2Farmer’.

“Program ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Tenusu DLMI yang berterusan. DLMI juga menyokong kerajaan dalam agenda kesihatan kebangsaan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan nutrisi yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Katanya, DLMI juga membuat pelaburan untuk masa hadapan iaitu pembelian hartanah syarikat di Bandar Enstek di Negeri Sembilan sebagai persediaan membina fasiliti pengilangan akan datang.

“Ia sejajar dengan pelan jangka masa panjang syarikat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memenuhi trend permintaan pelanggan yang terus meningkat ke atas produk tenusu kami.

“Fasiliti pengeluaran terbaharu ini membolehkan kami untuk terus merealisasikan misi syarikat dalam menyediakan khasiat terbaik kepada negara, memenuhi permintaan pelanggan dan menangani isu penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan tumbesaran terbantut dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Menurut Tarang, pada tahun 2020, DLMI berjaya mencatatkan hasil pendapatan syarikat yang kekal konsisten dalam suasana ekonomi yang mencabar berpunca daripada isu pandemik global Covid-19 yang menjurus kepada pelaksanaan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melandaikan keluk jangkitan virus itu.

Mengulas lanjut mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, Tarang berkata, mengambil semangat ‘Tahun Lembu’ yang melambangkan ketekunan, kebolehpercayaan, kekuatan dan kesungguhan.

Beliau berkata, angka 58 tersebut menandakan tempoh wujudnya DLMI di Malaysia sejak 58 tahun lalu dalam menyediakan khasiat tenusu kepada masyarakat.

“DLMI akan terus menghidupkan reputasi berterusan syarikat selaku pengeluar jenama tenusu digemari ramai,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!