Tabah jaga anak alami tulang rapuh

Nur Rhoshaida dan Mohd Nazri tabah menjaga Muhammad Adam yang disahkan menghidap tulang rapuh.
Nur Rhoshaida dan Mohd Nazri tabah menjaga Muhammad Adam yang disahkan menghidap tulang rapuh.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sepasang suami isteri di Taman Senohong, Sungai Buloh, Jeram di sini reda menerima ujian anak bongsu mereka disahkan menghidap 'osteogenesis imperfecta' atau tulang rapuh sejak dilahirkan.

Nur Rhoshaida Rosli, 34, dan suaminya, Mohd Nazri Mohd Anuar, 36, tabah apabila anak mereka yang berusia setahun menderita penyakit itu sehingga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan pada setiap masa.

"Kebanyakan tulang anak saya lambat tumbuh terutama di kawasan berisiko seperti kepala dan tengkuk," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Nur Rhoshaida berkata, disebabkan penyakit itu juga, beliau dan suami perlu berhati-hati menguruskan Muhammad Adam bagi mengurangkan risiko tulang patah.

"Kami tidak boleh angkat Muhammad Adam seperti bayi lain. Dia memerlukan penjagaan rapi dan tidak boleh disentuh sembarangan termasuk hanya mengelap badan sahaja berbanding dimandikan," katanya.

Menurutnya, anaknya juga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menguatkan paru-parunya selain kaki dan tangan tidak boleh disentuh kerana terlalu sensitif.

Katanya, keadaan kulit anak bongsu daripada empat beradik itu sensitif terutama pada waktu panas kerana ditumbuhi ruam hingga menyebabkan Muhammad Adam tidak selesa.

"Setiap bulan saya dan suami perlu membelanjakan RM1,000 untuk pemeriksaan Muhammad Adam di hospital dan dia perlu menaiki ambulans khas berikutan keadaannya sensitif.

Artikel Berkaitan:

"Selain kos hospital, kami perlu mencari katil khas dan penyaman udara untuk kegunaannya tetapi disebabkan kekangan kewangan, kami hanya menggunakan sumber yang ada," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, mereka sekeluarga bersyukur kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan berupa susu dan lampin pakai buang serta ubat-ubatan untuk menguatkan tulang Muhammad Adam.

Mengulas lanjut, Muhammad Adam dilahirkan di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada Disember 2019 dan semasa kandungannya berusia lapan bulan, doktor yang melakukan imbasan mengesahkan beberapa tulang pada bayi patah terutama di kaki, tangan dan rusuk.

"Saya memilih bersalin secara pembedahan dan selepas sebulan dilahirkan, Muhammad Adam disahkan menghidap tulang rapuh.

"Anak saya kemudian ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Mohd Nazri berharap orang ramai dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Muhammad Adam.

"Kami reda dan akan menjaga Muhammad Adam seperti anak-anak yang lain," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank Mohd Nazri (164306384841) atau menghubunginya di talian 014-9753136 atau 011-70331636 (Nur Rhoshaida).