PN, BN boleh menang PRU15

Pakar dan badan pemerhati politik ramalkan koalisi perdana parti Melayu dan bumiputera dalam PN berpeluang menang lebih selesa pada PRU15 jika berdepan pertembungan dua penjuru.
Pakar dan badan pemerhati politik ramalkan koalisi perdana parti Melayu dan bumiputera dalam PN berpeluang menang lebih selesa pada PRU15 jika berdepan pertembungan dua penjuru.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar dan badan pemerhati politik meramalkan koalisi perdana parti Melayu dan bumiputera dalam Perikatan Nasional (PN) berpeluang menang lebih selesa pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika berdepan pertembungan dua penjuru.

Ramalan yang dibuat institusi kajian politik, O2 Research Malaysia menjangkakan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mampu memenangi sekurang-kurangnya 136 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan lebih kukuh sekiranya kerjasama politik sesama mereka berjaya dimuktamadkan.

Menurut Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, jangkaan 136 kerusi tersebut berdasarkan 111 kerusi Parlimen yang sudah dimiliki Bersatu, BN, Pas, GPS dan GBS dicampur dengan kerusi Parlimen Gerik yang kosong akibat kematian penyandangnya serta 24 lagi kerusi Parlimen pembangkang yang dijangka boleh ditawan PN pada PRU15.

Katanya, berdasarkan kaedah campuran undi UMNO dan Pas pada PRU14, kesemua 24 kerusi ‘panas’ itu diyakini mampu dimenangi gabungan parti Melayu berkenaan pada PRU15.

“Sejumlah 24 kerusi Parlimen berkenaan ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai, Kulim-Bandar Baharu, Parit Buntar, Lumut, Tanjong Malim, Raub, Kuantan, Temerloh, Bentong, Kuala Selangor, Kapar, Kuala Langat, Tampin, Tangga Batu, Sri Gading dan Putatan.

“Menariknya, 24 kerusi berkenaan turut membabitkan sebahagian besar kerusi Parlimen dimiliki Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengukuhkan lagi ramalan itu, katanya menerusi satu laporan soal selidik yang dijalankan pihaknya mendapati, koalisi PN dijangka menerima sokongan 56 peratus rakyat Malaysia berbanding blok pembangkang, dengan Pakatan Harapan Plus (PH Plus) yang hanya meraih 44 peratus sekiranya berlaku pertembungan dua penjuru.

Bagaimanapun, jika senario PRU15 menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, BN dan PH Plus, Anis mendedahkan PN dan BN bukan sahaja bakal berdepan laluan berliku untuk mempertahankan Putrajaya, bahkan kerajaan yang ditubuhkan juga dikhuatiri tidak kukuh.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, PN dijangka meraih sokongan dengan 43 peratus, diikuti PH Plus (42 peratus) dengan BN diramalkan meraih sokongan paling sedikit sekitar 14 peratus sahaja.

Kata Anis, secara realitinya, BN berdepan kesukaran besar sekiranya bergerak bersendirian bagi menghadapi PRU15 dan tidak bekerjasama dengan PN yang turut dianggotai Bersatu dan Pas.

Sejumlah 24 kerusi Parlimen kemungkinan berpihak kepada gabungan PN, BN berdasarkan kiraan undi PRU14.
Sejumlah 24 kerusi Parlimen kemungkinan berpihak kepada gabungan PN, BN berdasarkan kiraan undi PRU14.

“Di sebalik spekulasi pertembungan tiga penjuru antara PN, BN dan PH Plus semakin kuat diperkatakan, saya yakin ketiga-tiga blok parti gabungan itu menyedari formula pertandingan dua penjuru adalah terbaik dengan tiga penjuru hanya menguntungkan pihak lawan.

“Jika pertandingan tiga penjuru berlaku, PN mungkin menang tipis, tetapi kemungkinan kerajaan yang wujud tidak stabil seperti sekarang, manakala BN pula dibimbangi semakin hilang pengaruh,” katanya.

Anis berkata demikian sewaktu membentangkan laporan kaji selidik peringkat awal simulasi PRU15 setakat suku ketiga tahun 2020 disediakan O2 Research Malaysia.

Laporan itu mengambil kira pandangan 1,509 responden berdasarkan tinjauan rawak berstrata daripada demografi pengundi dari 222 Parlimen serta nisbah kaum daripada kalangan pengundi bumiputera sebanyak 61 peratus, Cina (29 peratus) dan India (10 peratus).

Dalam pada itu, sejak Ahad lalu hubungan antara parti dalam kerajaan PN kembali hangat diperkatakan selepas Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi kata dua kepada pemimpin Bersatu Perak supaya tidak mengacau dan bertanding di kawasan Parlimen yang dimenangi UMNO.

Amaran tersebut merujuk kepada Parlimen Larut, Bukit Gantang dan Bagan Serai yang dimenangi calon UMNO tetapi melompat menyertai Bersatu.