Fenomena El Nina sederhana

Taburan hujan kini berkurangan berikutan negara berada dalam Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir awal Mac depan.
Taburan hujan kini berkurangan berikutan negara berada dalam Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir awal Mac depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) tidak menjangkakan cuaca panas melampau atau ekstrem akan berlaku di beberapa negeri pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, keadaan kering atau panas kini masih berada pada tahap biasa.

“Sebenarnya keadaan cuaca di Malaysia masih terkawal dan berada dalam suhu maksimum iaitu 34 darjah Celcius, cuma ada beberapa tempat di utara tanah air seperti Kedah dan Perlis berlaku peningkatan iaitu 35 darjah Celsius.

“Keadaan ini merupakan perkara biasa kerana negara kini mengalami kejadian El Nina sederhana berbanding tempoh sama tahun lepas apabila Kedah dan Perlis mencatatkan suhu antara 36 hingga 37 darjah Celcius.

“Biasanya suhu panas negara kita yang melampau dikaitkan dengan kejadian El Nino tetapi tahun ini kita tidak nampak akan berlaku situasi berkenaan.

“Jika ada pun mungkin akan meningkat antara 0.5 sehingga satu darjah Celsius sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Justeru, kata beliau, MET Malaysia tidak menjangkakan berlaku suhu yang terlalu panas di seluruh negara sehingga mencapai suhu 39 atau 40 darjah Celsius.

Kata Jailan lagi, negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh ini, taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di utara menyebabkan cuaca agak panas terutama pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

“Keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan negara dalam tempoh ini adalah fenomena biasa dan dijangka beransur reda bermula pertengahan April ini.

“Pada tahun lepas beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Johor mengalami kemarau agak serius menyebabkan beberapa empangan kering. Namun kita tidak menjangkakan keadaan sama berlaku pada tahun ini disebabkan suhu yang direkodkan masih berada pada tahap biasa,” katanya.

Ujar beliau lagi, walaupun MET Malaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca yang melampau tetapi langkah berjaga-jaga akan sentiasa diambil dari masa ke masa.

“Kita sentiasa memantau keadaan dan sekiranya berlaku kejadian gelombang haba, Jabatan Meteorologi juga akan mengeluarkan nasihat dan amaran berkaitan perkara-perkara sedemikian dan kita akan menguar-uarkannya kepada umum.

“Orang awam juga diingatkan sentiasa minum banyak air dan kurangkan berada di luar rumah untuk mengelakkan dehidrasi,” katanya.