Warga emas dikhuatiri lemas di jeti

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat seorang warga emas yang dikhuatiri lemas di sebuah jeti di Emerald Bay, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, pada Isnin.
Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat seorang warga emas yang dikhuatiri lemas di sebuah jeti di Emerald Bay, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang warga emas yang keluar bersiar-siar dikhuatiri lemas di Emerald Bay, Puteri Harbour di sini pada Isnin.

Abdul Rahman Abdul Majid, 79, melakukan rutin harian berjalan-jalan di sekitar jeti di kawasan tersebut pada setiap pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar bagaimanapun berkata, apabila warga emas itu tidak pulang pada jam 11 pagi untuk makan tengah hari, anak perempuannya keluar mencari.

"Warga emas itu tinggal bersama-sama anak perempuannya itu di sekitar kawasan tersebut. Selepas tidak pulang seperti biasa, anak perempuannya mencarinya di sekitar jeti berkenaan.

"Bagaimanapun usaha anak perempuannya gagal dan hanya menemukan satu cap (topi) dan sepasang selipar yang ditinggalkan di jeti berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Susulan itu, katanya, seramai 13 anggota dari BBP Iskandar Puteri dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu utiliti Toyota Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mereka dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Tebrau.

"Kita percaya warga emas tersebut tergelincir dan kemungkinan terjatuh ke dalam laut. Operasi mencarinya masih dilakukan sehingga malam ini (Isnin) dan akan diteruskan mengikut keperluan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan mangsa yang berasal dari Melaka baru sahaja tinggal di sini bersama-sama anak perempuannya selepas kematian isterinya pada bulan lalu.