X

Kindly register in order to view this article
!

Apa cerita penaja Liga-M?

Saingan Liga-M musim 2021 dijadualkan berlangsung mulai 5 Mac depan. Gambar kecil: Redzuan
A
A

APA status tajaan Liga-M?

Itu persoalan yang dilontarkan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai pada 5 Mac ini.

Menurutnya, tindakan ‘membisu’ FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang masih belum mengumumkan pihak penaja tampak membuktikan kedua-dua badan itu sedang bergelut untuk mencari dana Liga-M musim ini.

“Sebab itu saya pernah kata FAM dan MFL tak ada simpanan. Dapat banyak itu (penajaan), makan (belanja) banyak itu. Zaman kami dulu ada deposit tetap yang mana kami mempunyai simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

“Kami akan gunakan dahulu simpanan tersebut untuk tempoh satu musim jika tidak cukup penajaan untuk memastikan Liga-M tetap berjalan. Dalam masa sama, kami kurangkan hadiah kemenangan dan sebagainya sehinggalah dapat kembali tajaan.

“Saya lihat FAM dan MFL ketika ini seolah-olah tidak ada perancangan masa depan. Mereka suruh orang lain profesional, tetapi mereka sendiri tidak profesional.

“Ketika Almarhum Sultan Pahang (Sultan Ahmad Shah) menjadi presiden (FAM), perkara ini jarang berlaku disebabkan baginda sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tatkala saingan Liga-M musim ini hanya berbaki tiga minggu, FAM dan MFL masih belum mengumumkan penaja, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Sebelum ini, CIMB mengumumkan menarik diri daripada menaja Liga-M manakala syarikat penerbangan tambah murah, AirAsia pula dikhabarkan bersedia kembali menjadi penaja.

Mengulas lanjut, Redzuan turut memberikan cadangan kepada FAM dan MFL untuk mencari dana termasuk membuat pinjaman agar saingan Liga-M ‘tidak mati’ ekoran ancaman Covid-19.

“Apa yang berlaku menampakkan FAM dan MFL bermasalah. Mereka kena cari juga penaja atau setidak-tidaknya membuat cagaran buat sementara waktu. Bola sepak ini kena sentiasa hidup.

“Buat masa sekarang bola sepak ini cuma tidak bernafas akibat Covid-19 yang sedang melanda dunia. Sebab itu, jika terdesak FAM boleh membuat pinjaman atau cagarkan aset sehingga dapat penaja.

“Cara itu saja dapat memastikan Liga-M dapat berlangsung dengan baik. Mereka tidak boleh tunggu penaja nak datang kerana tak semua mahu menaja dalam keadaan ketidaktentuaan ekonomi ketika ini,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!